Oleh: Hassan Karim
Di Pasir Gudang, Johor terdapat ramai rakyat Sarawak. Kebanyakan mereka masih jadi pengundi di Sarawak.
Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan pada 18 Disember 2021 dan perayaan Hari Natal akan disambut pada 25 Disember 2021.
Tetapi harga tiket kapal terbang dari semenanjung ke Sarawak naik mendadak terlalu tinggi hingga di luar kemampuan pengundi biasa Sarawak yang menjadi pekerja kilang di Pasir Gudang.
Saya minta Menteri Pengangkutan campur tangan dan ambil tindakan tegas terhadap syarikat- syarikat penerbangan yang mengambil kesempatan memeras rakyat Sarawak yang ingin pulang melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi bagi memilih kerajaan baru Sarawak untuk lima tahun akan datang.
Jika gejala buruk yang diamalkan oleh syarikat-syarikat penerbangan yang jelas menyalahi Akta Percatutan kerana dengan sengaja secara tamak mengaut untung besar, maka ia membawa makna hanya orang kaya sahaja yang boleh pulang mengundi dalam PRN Sarawak pada bulan depan.
Saya ingin jawapan dari Menteri Pengangkutan.
Mengapa boleh berlaku pada hari ini harga tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Miri, Sarawak lebih mahal dari harga tiket Kuala Lumpur ke Dubai?
Adakah fenomena tidak adil ini sengaja dirangka supaya pengundi luar tidak boleh pulang mengundi di Sarawak?
Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang