BM | EN | 中文

[KENYATAAN MEDIA] Sejauh mana keyakinan kerajaan mampu agih 600,000 tablet untuk pelajar? – Kesatuan Mahasiswa UM

Kesatuan-Mahasiswa-Universiti-Malaya.png
Advertisement

Oleh: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya

Berikutan pengumuman Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) ingin menyuarakan beberapa kebimbangan mengenai perkara penting dalam Bajet 2022.

Mahasiswa dan mahasiswi masih belum melupakan janji di dalam ucapan belanjawan 2021 pada November tahun lalu di mana sebanyak 150,000 pelajar telah dijanjikan komputer riba percuma untuk membantu urusan pembelajaran di atas talian mereka. Walau bagaimanapun, menurut laporan berita pada 18 September 2021, hanya 111,040 buah komputer riba telah diedarkan.

Advertisement

Pihak Kesatuan mempersoalkan situasi ini dan ingin mengetahui sama ada baki komputer riba tersebut telah berjaya diedarkan atau sebaliknya. Pengedaran yang perlahan dan tidak cekap itu telah membawa kesulitan dan menyusahkan pelajar-pelajar yang berkenaan.

Merujuk semula kepada Bajet 2022, persoalan kami adalah “Sejauh manakah kementerian yang berkaitan yakin untuk mengedarkan tablet yang dijanjikan dalam kadar yang segera, terutamanya apabila bilangan peranti yang akan dihantar telah meningkat sebanyak empat kali ganda (150,000 kepada 600,000)?”

Berdasarkan prestasi tahun lepas, kami ingin menggesa pihak kementerian yang berkaitan untuk berhemah dalam memilih rakan kongsi dan/atau pengedar yang akan bekerjasama mengikut sistem meritokrasi.

Advertisement

Seterusnya, peranti yang diedarkan kepada 600,000 pelajar wajiblah merupakan peranti yang mampu untuk menampung keperluan pendidikan mereka.

Kos yang diberikan iaitu sebanyak RM450 juta bagi 600,000 buah peranti tersebut mempunyai penurunan sebanyak 25% dalam kos seunit berbanding tahun sebelumnya. Ini menimbulkan keraguan sama ada peranti berharga RM750 itu dapat memenuhi keperluan asas pelajar. Adalah baik jika kerajaan berjaya mendapatkan peranti yang baik pada kadar yang lebih rendah.

Namun harus diingatkan sekiranya peranti yang diberikan itu tidak berkualiti dan cekap, ianya lebih baik jika peranti itu tidak diberikan langsung.

Advertisement

Yang ketiga, inisiatif jangka pendek seperti JaminKerja dan MyStep untuk program peningkatan kemahiran seharusnya dipuji. Walau bagaimanapun, KMUM khuatir dengan apa yang akan berlaku selepas tamatnya tempoh 1 tahun untuk insentif tersebut dan berharap agar pihak kerajaan akan terus memantau keadaan dan mengambil inisiatif susulan apabila perlu.

Tambahan pula, KMUM percaya terdapat satu isu penting yang masih belum ditangani iaitu ketidakpadanan pekerjaan siswazah. Graduan memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka.

Pihak Kesatuan berpendapat bahawa pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia berkurangan dan hal ini sekali gus menggalakkan pelarian modal insan.

Advertisement

KMUM berpendapat bahawa slogan Bajet 2022 iaitu “Keluarga Malaysia” merupakan satu jenaka.

Ini kerana peruntukan pembiayaan yang diberikan tidak sekata dan tidak mengambil kira saiz populasi dalam kalangan kaum tersebut seperti yang diutarakan di pelbagai platform media sosial.

KMUM juga ingin mengetengahkan isu di mana bantuan kewangan bagi Bumiputera selalunya seolaholah mengetepikan rakyat bumi Sabah dan Sarawak.

Advertisement

Oleh itu, perlu adanya pembahagian inisiatif dan data yang lebih jelas untuk memperkasakan kumpulan ini dan membantu mereka juga dalam merapatkan ‘jurang perkauman’.

Akhir sekali, KMUM ingin menyuarakan kekeliruan terhadap ‘bantuan kewangan khas’ berjumlah RM1.3 bilion yang akan diberikan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan yang mempunyai pendapatan yang stabil sejak COVID-19 melanda.

Dengan segala hormatnya, KMUM percaya bahawa jumlah sedemikian atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada jumlah itu sepatutnya digunakan untuk bidang lain. Sebagai contoh, jumlah ini boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur untuk menarik pelaburan langsung asing. Hal ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada graduan dalam bentuk peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi juga kepada negara kita secara keseluruhannya dengan kemudahan yang lebih baik dan ekonomi yang lebih kukuh.

Advertisement

Sebagai alternatif, dana itu juga boleh disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang mempunyai kenaikan bajet yang paling sedikit agar KKM dapat membuat persediaan yang lebih baik untuk menangani kes COVID-19 atau krisis kesihatan awam pada masa hadapan.

Berkhidmat Demi Mahasiswa
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya 2021

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top