BM | EN | 中文

[KENYATAAN MEDIA] PKP 3.0 Diperketat: Kerajaan sudah tangani PdPR, siswa IPT? – MP Sekijang

ahli-parlimen-sekijang-johor-natrah-ismail.jpg
Advertisement

Oleh : Natrah Ismail

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah diisytiharkan secara berperingkat di seluruh negara bermula dari 18 Mac 2020 hingga 7 Jun 2021.

Hal ini disusuli dengan Proklamasi Darurat setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Advertisement

Dalam pada itu, pelbagai sektor telah mengalami impak negatif termasuklah sektor pendidikan negara.

Justeru, kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, guru, pelajar dan masyarakat umum tidak dapat dielakkan apabila berlaku perubahan kepada pengurusan waktu persekolahan.

Sesi persekolahan yang dibuat secara tergesa-gesa telah menyukarkan pihak guru, pelajar dan ibu bapa untuk membuat persediaan yang rapi.
Tiada penerangan yang jelas dan komprehensif kepada masyarakat umum mengenai perancangan dan mekanisma yang digunakan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan dilaksanakan dalam norma baharu apabila berlaku wabak Covid-19 di sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), asrama dan sekolah tahfiz di negeri Johor. Ini merupakan tempat anak-anak menimba ilmu.

Advertisement

Tempat inilah juga yang akan menentukan kemenjadian murid atau pelajar yang akan meneruskan warisan pimpinan negara pada masa hadapan.

Sesi persekolahan secara bersemuka yang hanya berjumlah 65 hari pada tahun 2020 hanyalah separuh sahaja daripada hari persekolahan sepanjang tahun. Ini bermakna separuh daripada jumlah hari persekolahan secara fizikal tidak dilaksanakan kepada murid atau pelajar.

Dengan memperkenalkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 1.0 secara atas talian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun lepas, mekanisme ini diharapkan dapat mengatasi masalah PdP di sekolah semasa wabak Covid-19 melanda.

Advertisement

Namun begitu, hal ini tidak berlaku seperti mana yang diharapkan. Isu utama berkaitan PdP perlu ditangani terlebih dahulu sebelum PdPR 2.0 dapat dilaksanakan sepenuhnya. Diharapkan juga bahawa PdPR yang mana merupakan langkah alternatif yang terbaik ini boleh menggantikan PdP secara fizikal di sekolah.

Bagi menangani kegusaran yang dihadapi oleh para guru, pelajar dan ibu bapa menjelang pelaksanaan PdPR 2.0, beberapa pendekatan perlu diambil dan dititikberatkan oleh unit pendidikan sama ada di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

1. Pemakluman awal mengenai hari dan penggal persekolahan. Hal ini akan memudahkan guru untuk merangka serta menyediakan bahan mengajar (teaching aids) yang sesuai semasa sesi PdPR.

Advertisement

2. Memastikan peranti yang mencukupi untuk digunakan oleh pelajar. Kekurangan peranti untuk digunakan oleh murid atau pelajar dapat merencatkan proses PdPR sekali gus melihat kepada kegagalan PdPR secara keselurahannya.

3. Capaian internet yang baik. Peranti yang digunakan oleh murid atau pelajar perlu mempunyai rangkaian internet dan boleh diakses di setiap kawasan perumahan atau kediaman.

4. Menyegerakan pengagihan komputer riba kepada pelajar daripada golongan B40. Keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan SPM/SPVM/STPM/STAM. Peruntukan komputer riba daripada KPM sebanyak 150,000 buah juga perlu diagihkan ke semua negeri termasuklah negeri Johor.

Advertisement

5. Mewujudkan pelan alternatif untuk menangani keciciran dalam pelajaran. Generasi cicir akibat Covid-19 ini tidak lagi dapat kita elakkan. Sebelum pandemik ini berlaku, dilaporkan seramai 30,000 murid sekolah menengah dan rendah di seluruh negara telah cicir daripada sistem pendidikan nasional setiap tahun. Bahkan angka ini dilaporkan meningkat dengan lebih drastik ketika wabak Covid-19 melanda.

6. Memberikan kebebasan kepada guru-guru untuk mereka mencipta bahan-bahan mengajar yang sesuai ketika PdPR. Guru-guru perlu diberikan kebebasan untuk menggunakan kreativiti masing-masing dalam melaksanakan PdPR kepada murid-murid dan tidak terikat dengan kaedah yang ditetapkan oleh kementerian selagi mana kaedah itu tidak menyalahi etika PdP dan berupaya memberikan impak yang positif.

7. Kerjasama semua pihak. Kerjasama daripada pihak sekolah, PIBG, PPD dan pemimpin masyarakat dari setiap daerah di negeri Johor perlu dipertingkatkan untuk menjayakan program PdPR ini.

Advertisement

Baru-baru ini, DYMM Sultan Johor telah bertitah supaya diadakan satu perbincangan antara semua Ahli Parlimen dan Ahli Undangan Negeri (ADUN) di Johor bersama-sama dengan YAB Menteri Besar Johor berhubung kebajikan rakyat Johor adalah tepat pada masanya.

Isu pendidikan di negeri Johor akan dijadikan salah satu isu yang perlu diketengahkan demi pendidikan anak bangsa Johor.

Natrah Ismail merupakan ahli parlimen Sekijang, merangkap Naib Pengerusi 1 Majlis Pimpinan Parti KEADILAN Rakyat Johor

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top