BM | EN | 中文

[KENYATAAN MEDIA] PH Johor cadang kerajaan negeri beli sendiri, vaksin rakyat segera

PH-Pakatan-Harapan-PH.jpeg
Advertisement

1. Pada pagi ini, semua wakil rakyat melibatkan ADUN dan Ahli Parlimen Johor telah mengikuti mesyuarat bagi membincangkan pengurusan pandemik Covid-19 di negeri ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Dato Menteri Besar Johor ini sebagai menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Johor yang ingin melihat perbincangan rentas parti ini dijalankan.

2. Dalam mesyuarat yang dijalankan, Pakatan Harapan Johor telah mengemukakan pandangan agar Kerajaan Negeri perlu mensasarkan 80% imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun 2021 ini bagi membolehkan perjalanan perlancongan atau perniagaan dilaksanakan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta memulihkan kehidupan sosial.

3. Data terkini menunjukkan pelbagai langkah bukan perubatan termasuk darurat dan PKP telah gagal mengawal peningkatan wabak mutakhir ini. Johor mesti mendesak Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan Kerajaan Negeri mengemukakan program untuk melengkapi (complement) projek vaksinasi Kerajaan Persekutuan melalui inisiatif sendiri dengan;

Advertisement

a. Mempertimbangkan perolehan sendiri vaksin supaya lebih ramai rakyat Johor dapat divaksinasi lebih awal bagi mengelakkan lebih banyak korban akibat COVID19.
b. Mempertimbang untuk menggunakan Rizab Tunai Negeri Johor atau Tabung Amanah Warisan Negeri Johor bagi menampung pembelian vaksin oleh Kerajaan Negeri.
c. Kerajaan Negeri memohon pembelian vaksin Sinovac kerana agihan oleh Kerajaan Persekutuan agak perlahan kepada kawasan-kawasan di luar Lembah Klang.
d. Mempertimbangkan untuk membenarkan majikan menampung kos vaksinasi untuk pekerja masing-masing.
e. Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembukaan lebih banyak pusat vaksinasi terutamanya melibatkan kawasan-kawasan dengan kepadatan penduduk dan kes COVID-19 yang tinggi.
f. Kerajaan Johor juga mempertimbangkan untuk membenarkan hospital dan klinik-klinik swasta melaksanakan program vaksinasi dengan dikawalselia oleh Pejabat Kesihatan Negeri.

4. Untuk mempercepatkan pendaftaran vaksin dan memastikan rakyat hadir program vaksinasi, Pakatan Harapan Johor telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri membuat perancangan rapi, khususnya kepada penduduk luar bandar serta warga emas yang kebanyakannya tidak mahir mengguna aplikasi MySejahtera. Pakatan Harapan Johor mencadangkan agar Kerajaan Negeri;

a. Menjalankan program penerangan dan promosi besar-besaran akan kepentingan vaksinasi.
b. Membuka perkhidmatan atau premis tertentu hanya kepada mereka yang telah divaksin atau telah mendaftar untuk program vaksinasi sahaja.
c. Memastikan ketua-ketua kampung dan JKKK diberi tanggungjawab untuk memberi penerangan dan seterusnya memastikan kesemua rakyat di bawah tanggungjawab mereka mendaftar program vaksin. Sekiranya bersesuaian, insentif tertentu mungkin boleh ditawarkan kepada ketua-ketua kampung yang berjaya mendaftar 80% individu kampung yang layak mendaftar.
d. Memastikan ketua-ketua kampung dan JKKK diberi tanggungjawab untuk membawa rakyat yang mermerlukan untuk hadir ke PPV pada masa yang dijadualkan mengikut SOP.
e. Mempertimbangkan insentif bantuan untuk membawa warga emas yang tidak berupaya.
f. Mengambil graduan yang masih belum ada pekerjaan dan mengupah mereka membuat kempen dan pendaftaran dari rumah ke rumah.

Advertisement

5. Wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan juga telah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri merancang strategi yang baik agar kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 di Johor sentiasa di bawah paras 1.0 dan menuju penurunan ke paras 0.5. Pada 21 April 2021, nilai RT Johor adalah 0.9. Sebulan kemudian pada 23 Mei 2021, nilai ini meningkat menjadi 1.14.

6. Sehingga kini, dua kawasan felda di Negeri Johor telah dikenakan PKPD – Felda Kahang Timur dan Felda Redong. Kesannya bukan hanya risiko kesihatan kepada warga Felda yang terdiri dari warga emas terancam, bahkan juga menjejaskan pendapatan peneroka apabila mereka tidak dapat memetik hasil sepanjang PKPD.

7. Strategi Kerajaan Negeri ini perlu dikongsi dengan semua wakil rakyat untuk membolehkan kami turut sama membantu melandaikan lengkok wabak Covid-19 di Johor.

Advertisement

8. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Harga Pengguna (IHP) Johor pada bulan Mac 2021 adalah yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 126.2 berbanding dengan IHP negara pada nilai 122.9. Kerajaan Negeri perlu mengemukakan satu langkah bagi membantu rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah untuk berhadapan situasi ini.

9. Berdasarkan beberapa isu asas yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan hari ini, adalah wajar semua Ahli Dewan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen Negeri Johor diberi ruang untuk bersama-sama Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat secepat mungkin.

10. Wakil-wakil rakyat sepatutnya diberikan akses untuk data-data dan maklumat setempat yang dapat digunakan bagi mendekati rakyat dan menyampaikan bantuan. Pertemuan dan perbincangan secara berkala antara kerajaan negeri dan semua wakil rakyat perlu di buat secara lebih kerap bagi meneliti keputusan-keputusan yang telah dibuat dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil.

Advertisement

11. Sejumlah peruntukan sebanyak RM100 ribu bagi setiap wakil rakyat telah kami cadangkan bagi tujuan membantu rakyat setempat, mempergiatkan kempen kesedaran tentang Covid-19 serta aktiviti dan bantuan yang berkaitan boleh disalurkan untuk kita bersama mengembeleng tenaga melawan Covid-19 ini.

YB Aminolhuda Hassan
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

Advertisement

YB Teo Nie Ching
Timbalan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top