BM | EN | 中文

[KENYATAAN MEDIA] Kerajaan Johor perlu percepat vaksinasi warga emas

Tan-Hong-Pin.jpg

Tan Hong Pin (Gambar Fail)

Advertisement

Oleh : Tan Hong Pin

Saya menggesa agar program vaksinasi kebangsaan (PICK) dipergiatkan lagi dan harus memberi layanan yang adil kepada penduduk luar bandar yang dilihat tertinggal ke belakang. Hak dan kesihatan golongan warga emas yang menjadi keutamaan di bawah PICK FASA II harus dibela.

Harus diingati, baik MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad (ADUN Benut), PM Tan Sri Muhyiddin Yassin (Adun Gambir merangkap MP Pagoh) mahupun Exco Kesihatan Johor YB Vidyananthan (Adun Kahang) mewakili kawasan luar bandar. Sudah tentu mereka ingin menjaga kepentingan rakyat luar bandar.

Advertisement

Namun yang menghairankan adalah masih ramai warga emas yang menduduki di kawasan luar bandar tersebut yang menunggu panggilan suntikan vaksin dos pertama.

Contohnya di Bukit Kepong di bawah Parlimen Pagoh dan di Benut di bawah Parlimen Benut, masing-masing saya terima aduan ada nenek berusia 80-an yang sudah lama berdaftar tetapi masih belum dapat vaksin. Saya bimbang kes-kes sedemikian bukan kes terpencil, malah gambaran keadaan semasa di mana mereka yang menduduki luar bandar tidak diberi layanan yang adil. Saya minta kerajaan menyiasat dan member penjelasan.

Penduduk luar bandar banyak menghadapi cabaran dalam usaha menerima vaksin, termasuk isu pengangkutan. Ini kerana Pusat Pemberian Vaksin yang terletak di pusat bandar. Golongan warga emas, termasuk mereka yang agak uzur, dikehendaki berjalan jauh ke bandar. Kena minta anak ataupun saudara hantar, tetapi bukan setiap keluarga ada kereta. Bagaimana pula dengan mereka yang tinggal berseorangan di kampung? Oleh itu, disyorkan agar ditambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh pelosok negeri bermula dengan Klinik-Klink Kerajaan yang sedia ada.

Advertisement

Sebenarnya, penduduk bandar juga menghadapi cabaran besar. Untuk kawasan saya di Skudai, bilangan pengundinya lebih kurang 75,000 orang manakala jumlah penduduk melebihi 200,000 orang. Tiada sebuah PPV. DUN Kota Iskandar yang bersebelahan di mana terletaknya Pusat Pentadbiran Negeri Johor, ada satu PPV di Taman Universiti. Kapasiti bilangan dos sekitar 300 hingga 500 sehari. Memandangkan terdapat sekurang-kurangnya 30,000 orang warga emas dalam kawasan Parlimen Iskandar Puteri, sampai bila sasaran FASA 2 akan tercapai?

Sejak PICK bermula tiga bulan yang lepas, mereka yang sudah berdaftar vaksin berjumlah 46.3% daripada jumlah penduduk Johor. Namun yang telah menerima vaksin Cuma 5.3 peratus. Apakah ini boleh diterima?

Saya dihubungi juga berkenaan satu kes, nenek berusia 80-an juga yang mendiami Taman Universiti Skudai, KKM minta beliau menerima vaksin di Dewan Muafakat Johor di Taman Adda. Jauhnya 25km dari rumah. Apa akan berlaku kepada warga emas yang tiada kenderaan sendiri, anak pula kerja di luar, mungkin sudah uzur? Apakah mereka akan terus tertinggal dan tercicir daripada lindungan vaksin Covid?

Advertisement

Maka saya memanggil kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk menubuhkan lebih banyak PPV. Kerajaan Negeri harus bertindak lebih agresif melindungi Bangsa Johor daripada bahaya Covid 19. Biar saya lontarkan per perbandingan dengan negeri lain.

Penduduk negeri Sarawak 2.8 juta, jauh lebih rendah berbanding Johor 3.7 juta. Di Sarawak ramai yang menduduki kawasan terpencil, di Johor 75% penduduk di bandar. Kenapa pula di Sarawak ada 75 PPV setakat ini tetapi hanya tidak sampai 30 di Johor?

Di Sarawak 170,000 orang telah mendapat dos pertama, di Johor Cuma 140,000 orang. Sebenarnya pencapaian Johor setanding dengan Perak. Tetapi bilangan penduduk Perak hanya 2.5juta, jauh lebih rendah berbanding Johor. Jelas, potensi Johor belum dikembangkan.

Advertisement

Infrastruktur di Johor amat baik berbanding semua negeri lain, kita ada doktor dan klinik yang cukup, malah Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) milik Johor Corp adalah kumpulan perubatan swasta terbesar dalam negara. Tiada sebab kenapa Johor tertinggal di belakang dalam usaha memberi vaksin Covid. Ataupun kita masih belum bersungguh-sungguh dlm usaha kita?

Kita perlu mengerah semua tenaga yang ada termasuk NGO-NGO malah akar umbi parti-parti politik masing-masing untuk menyokong program vaksinasi. Jangan biarkan KKM berjuang tanpa sokongan. DAP dan Pakatan Harapan sedia menghulurkan bantuan. Saya percaya UMNO yang berakar umbi kuat juga sedia membantu. Tanpa mengira parti, biar kita sama-sama mendaftarkan semua warga emas dan membawa mereka untuk divaksin segera.

Pejabat ADUN Skudai telah melancarkan kempen Vaksinasi Warga Emas dengan mengumpul maklumat mereka yang masih menunggu giliran. Kepada mereka yang sudah daftar tetapi masih belum dapat giliran, hubungi pihak kita melalui pautan berikut segera. Maklumat yang dikumpul akan dipanjangkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri agar tarikh vaksin dapat diaturkan segera. [https://forms.gle/me3YS2A9AdTQCoF97]

Advertisement

Kita berlumba dengan masa. Tubuhkan segera pusat pemberian vaksin di seluruh pelosok negeri Johor. Semak dan perbetulkan sistem temu janji vaksin yang dilihat banyak kelemahan. Sebagai wakil rakyat saya menyokong penuh Program Vaksinasi Kebangsaan dan sedia membantu lebih ramai untuk divaksin segera demi mencapai matlamat lawan Covid.

Tan Hong Pin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Johor

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top