BM | EN | 中文

[KENYATAAN MEDIA] Kenyataan Wan Junaidi bersifat ‘cakap dengar’

Hassan-Karim.jpeg

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (Gambar Ehsan Malaysiakini)

Advertisement

Oleh: Hassan Karim

Kenyataan Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan bahawa tidak perlu dibuat undi percaya di Dewan Rakyat tidak boleh diterima kerana kenyataan itu bersifat hearsay atau dengar cakap. Jika dalam mahkamah, keterangan hearsay tidak boleh diterima.

Kesahihan kenyataaan Wan Junaidi itu dipertikaikan kerana Wan Junaidi tidak mendengar sendiri apa yang dikatakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebaliknya Wan Junaidi hanya mendengar dari Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Advertisement

Ismail Sabri Yaakob adalah orang yang ada pertentangan kepentingan atau conflict of interest dalam soal undi percaya di Dewan Rakyat kerana prosiding undi percaya itu menguji kepercayaan terhadap dirinya sendiri selaku Perdana Menteri.

Perlu diingat semula kronologi apa yang berlaku. Kenyataan Yang di-Pertuan Agong supaya Perdana Menteri yang dilantik perlu membentangkan usul undi percaya secepat mungkin di Dewan Rakyat telah dikeluarkan di dalam suatu kenyataan bertulis secara rasmi oleh Istana Negara pada 18 Ogos 2021.

Justeru itu di dalam amalan Undang-Undang Pentadbiran, apatah lagi yang melibatkan kedudukan Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong, maka jika ada suatu titah baru atau dekri baru daripada Yang di-Pertuan Agong dalam hal yang sama, maka dekri atau titah tersebut hendaklah dibuat secara bertulis dan dimaklumkan kepada umum melalui satu kenyataan media rasmi Istana Negara, bukannya melalui Perdana Menteri ataupun Menteri Wan Junaidi.

Advertisement

Nama baik Yang di-Pertuan Agong perlu dipelihara oleh Perdana Menteri yang ada sekarang. Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mungkin selesa untuk membuat U-Turn.

Semalam cakap lain, hari ini cakap lain.Rakyat boleh menghukumnya di dalam “mahkamah media social” sekarang ataupun di dalam pilihanraya akan datang. Tetapi amat buruk padahnya kepada institusi Yang di-Pertuan Agong jika Baginda juga dilihat oleh rakyat telah melakukan U-Turn.

Oleh yang demikian adalah mulia jika kata dikota, dan janji ditunaikan. Usul undi percaya di Dewan Rakyat adalah sesuatu yang memenuhi konvensyen dan perundangan Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

Sambil menghormati keputusan duluan yang pernah dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, tetapi jika dirujuk kepada teks Perlembagaan Persekutuan, sesungguhnya tidak ada barang sepatah perkataan pun yang menyatakan bahawa keabsahan Perdana Menteri boleh ditentukan secara SD (Statutory Declaration ataupun Surat Akuan Berkanun).

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan majoriti sokongan kepercayaan (Perkara 43(2)(a)) atau tidak ada majoriti sokongan kepercayaan (Perkara 43(4)) hendaklah ditentukan dan dilakukan di dalam Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top