BM | EN | 中文

[KENYATAAN MEDIA] Kenyataan media PH Johor berkaitan isu pilihan raya negeri

syed-ibrahim-aminolhuda-hassan-liew-chin-tong-1.png

Dari kiri: Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi PKR Johor) Aminolhuda Hassan (Pengerusi Parti Amanah Negara) dan Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor)

Pakatan Harapan Johor berpandangan, langkah melaksanakan sebarang Pilihan Raya pada masa ini sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang sedang rakyat lalui.

Krisis kesihatan akibat Covid-19 yang memberikan dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai. Bahkan kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat.

Ramai rakyat biasa yang terkesan. Dari sudut ekonomi domestik, telah ramai yang hilang pekerjaan seterusnya mengubah kehidupan rakyat ibarat kais pagi makan pagi. Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah ‘menambah cuka pada luka’ yang dialami rakyat.

Pada masa yang sama, negara turut sedang bergelut dengan bencana banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat biasa serta melibatkan kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit. Ini suatu sejarah hitam. Lebih malang lagi, saat rakyat berhadapan kesemua malapetaka ini, terdapat sebahagian pemimpin negara yang sedang bercuti keluar negara.

Pakatan Harapan Johor berpandangan, kenyataan dikeluarkan Menteri Besar berkaitan kemungkinan perlaksanaan Pilihan Raya di Negeri ini sebagai tidak empati dengan nasib yang sedang dihadapi rakyat.

Pakatan Harapan Johor berpendirian, segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan pada ketika ini, meskipun kedudukan Dewan Negeri berada pada angka 28-27 selepas pemergian ADUN Kempas, Allahyarham Dato’ Osman Sapian.

Hal ini kerana, Pakatan Harapan Johor telah sebulat suara menyatakan komitmen sepenuhnya untuk memberikan fokus membela nasib rakyat berbanding sepak terajang politik seputar soal perebutan kuasa sematamata.

Jangan menambah mual rakyat lagi terhadap perangai politikus saat rakyat sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi demi survival mereka.

YB AMINOLHUDA HASSAN
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

LIEW CHIN TONG
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top