Oleh: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fakulti Pendidikan
Pembentangan Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan pada hari Jumaat, 29 Oktober 2021 terdapat banyak penambahbaikan dan inovasi baharu yang dapat meningkatkan kadar keberkesanan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Namun, pihak Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) FakultiPendidikan mewakili mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Pendidikan berpendapat bahawa Belanjawan 2022 terdapat banyak kekurangan yang merisaukan kualiti dan mutu pendidikan pada masa akan datang. Berikut adalah beberapa masalah yang didapati oleh mahasiswa/i Fakulti Pendidikan;
Perbelanjaan segmen terbesar tidak mencukupi dengan status negara membangun
Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar di dalam Belanjawan 2022 dengan jumlah 52.6 billion ringgit, iaitu meningkat dari Belanjawan 2021 iaitu 50.4 billion ringgit. Namun, realitinya sektor pendidikan Malaysia jauh ketinggalan dalam peruntukan wang berbanding negara negara maju yang lain. Mengikut statistik 2019, Malaysia hanya memperuntuk 4.163% dari Gross Domestic Product (GDP), berbanding dengan negara-negara yang mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi seperti Denmark (7.8%), Finland (6.3%), New Zealand (6.0%) dan Netherlands (5.4%).
Purata negara maju membelanja kira-kira dari 5% hingga 9% daripada GDP untuk sektor pendidikan. Walaupun Kementerian Pendidikan mempunyai peruntukan tertinggi, namun sudah terbukti Malaysia masih tertinggal kebelakang dalam memberi peruntukan berbanding negara-negara maju.
Bantuan awal persekolahan yang tidak menyeluruh
KMUM Pendidikan menyambut baik keatas penambahan Bantuan Awal Persekolahan yang meningkat dari RM100 ke RM150. Namun, bantuan ini hanyalah dapat digunakan dalam masa yang sangat singkat dan hanya dapat menampung perbelanjaan asas sahaja seperti alat tulis dan pakaian harian sekolah.
Walaupun bantuan ini dikhaskan untuk awal persekolahan sahaja, bantuan sebegini haruslah diberi secara berkala dalam setahun bagi pelajar-pelajar miskin tegar dan B40 secara khususnya. Tambahan, wang RM150 pada hakikatnya tidak dapat dibelanjakan kepada buku rujukan dan buku latihan yang rata-rata berharga RM30 hingga RM50 untuk satu-satu subjek.
Oleh dengan itu, KMUM Pendidikan mencadangkan adanya kolaborasi khas bersama penerbit buku latihan dan rujukan bagi mendapatkan subsidi, diskaun dan baucar khas bagi semua pelajar untuk meringankan beban. Dengan subsidi, baucar dan diskaun ini, pelajar dapat manfaat dengan latihan lebih agar dapat meningkatkan ilmu yang didapati di sekolah.
Pengurangan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT)
Belanjawan 2022 telah menunjukkan bahawa terdapat pengurangan yang drastik terhadap perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) iaitu dari 420 juta (2021) ke hanya 400 juta (2022). KMUM Pendidikan mempersoalkan adakah peruntukan ini dapat membekalkan pelajar dengan nutrisi dan gizi yang mencukupi?
Sedangkan peruntukan sebelum ini hanya dapat membekalkan susu untuk 2 kali seminggu? Tambahan pula, menurut rekod Surat Pekeliling BT 19, dengan rujukan KPM.100-1/4/2 Jld.2(25), dibawah tajuk “Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Rendah” peruntukan bagi RMT untuk miskin tegar hanyalah sebanyak RM2.50 sehari bagi murid Semenanjung Malaysia dan RM3.00 bagi murid Sabah, Sarawak dan Labuan. Peruntukan bagi RMT serendah ini pada tahun 2021 adalah tidak masuk akal dengan harga barang yang kian naik tanpa henti ini.
Pihak pengusaha kantin terpaksa menggunakan bahan-bahan masakan yang berkualiti rendah demi menepati bajet diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah. Oleh demikian, peruntukan bagi RMT haruslah dipertingkatkan bagi menyaji pelajar dengan bukan sahaja makanan yang sihat bagi pelajar miskin tegar, tetapi secara khususnya semua pelajar agar semua mendapat khasiat secukupnya untuk menjalani pembelajaran.
Di manakah rasional Kementerian Kesihatan Malaysia mempromosi “badan sihat, otak cergas” apabila pelajar tidak mendapat khasiat yang secukupnya?
Peruntukan insentif khas alat bantuan mengajar yang tidak muhasabah
Selepas beberapa kali dicadangkan bahawa guru patut diberi insentif untuk alat bantuan mengajar, pada belanjawan kali ini telah diumumkan bahawa insentif akan diberikan.
Namun, jumlah yang diberikan iaitu sedikit RM100 amatlah tidak logik akal fikiran. Set kamera webcam dan mikrofon berkualiti rendah telah memakan paling kurang RM50 untuk menjalani PdPR.
Belum lagi dipertimbangkan lagi aplikasi-aplikasi pembelajaran atas talian yang dapat menarik minat pelajar yang terpaksa guru-guru tanggung agar kehadiran pelajar di kelas atas talian sentiasa penuh telah membebankan ratusan ringgit jikalau bukan ribuan ringgit. Infrastruktur kemudahan Wi-Fi di rumah juga rata-rata yang dipunyai oleh guru juga terpaksa dinaik taraf kerana keperluan PdPR yang memerlukan internet yang stabil dan laju.
Ini semua membincangkan tentang kos yang terpaksa ditanggung dan bukan secara suka rela, namun insentif yang diberikan adalah tidak memadai dengan apa yang dilalui oleh guru.
Kami, sebagai wakil Mahasiswa/i Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, serta pelajar dan murid dari prasekolah sehingga sekolah menengah menggesa kritikan dan cadangan kami ini dapat dipertimbangkan. Kami menuntut Belanjawan 2022 ini haruslah diperhalusi kembali, dan Belanjawan 2023 haruslah menambahbaik yang sedia ada.
Pendidikan haruslah menjadi tunggak utama dalam merancang masa depan negara.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (Fakulti Pendidikan)