PONTIAN, 24 NOV: Kenyataan Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Chong Fat Full berkenaan dengan kesediaan kerajaan Johor menyediakan bahan mentah menafikan Belanjawan Johor 2021 tahun lalu berkenaan program Food Bank yang diperuntukkan.
Adun Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman mengulas kenyataan dari Dr Chong dalam isu kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan minyak masak.
“Kenyataan tersebut seperti lepas tangan dan tidak ada yang dinamik dalam menjawab soalan berkenaan kenaikan harga bahan mentah yang disebutkan.
“Kita boleh mempersoalkan berkenaan dengan belanjawan tahun lalu yang memperuntukkan sebahagian kewangan negeri untuk dibelanjakan ke arah menyediakan bahan mentah ketika pandemik Covid 19 untuk tahun ini.
“Apa sudah jadi dengan ‘food bank’ yang kerajaan peruntukkan tahun ini? Jika soal bahan mentah alasan dari Exco, ini bermakna kerajaan gagal menyediakan ‘food bank’ yang dicanang tahun lalu.
“Beliau perlu menjawab hal ini dan jangan membiarkan perkara ini tergantung tanpa ada sebarang jawapan konkrit kerana ia melibatkan jutaan ringgit peruntukkan duit dari hak rakyat,” tegasnya ketika dihubungi.
Dr Chong pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memaklumkan pembukaan sektor ekonomi dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mendorong kepada permintaan tinggi sekali gus menyebabkan kenaikan harga mendadak barangan asas seperti ayam dan minyak masak kebelakangan ini,
Beliau berkata terdapat dua faktor menyebabkan kenaikan harga ayam iaitu peningkatan kos bahan mentah seperti kacang soya, jagung dan pertukaran mata wang asing selain faktor permintaan dan bekalan.
Bagaimanapun, Dr Chong berkata situasi dialami kini tidak pernah berlaku yang turut dialami seluruh dunia, dan kerajaan perlu mengimbangi antara permintaan pembeli, peruncit, pemborong dan pengilang.
Johorkini