BM | EN | 中文

“Kenapa JKN Johor arah program saringan Covid-19 dihentikan? – MP Bakri

dap-bakri-saringan-covid-19-2.jpg
Advertisement

MUAR, 20 JUN: Ahli parlimem Bakri, Yeo Bee Yin menggesa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor memberikan sebab mengapa program ujian saringan RTK-AG untuk orang awam yang dianjurkan pusat khidmat parlimen itu dihentikan.

Kata Bee Yin, pada mulanya program yang dianjurkan dengan kerjasama Adun Bentayan berjalan lancar dan sejumlah 18 orang telah berjaya disaring dalam tempoh satu jam.

Namun katanya, tidak lama selepas itu pihak berkuasa terdiri daripada pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar dan anggota polis mula hadir untuk menghentikan program ini serta-merta atas arahan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Advertisement

Tambahnya, alasan diberikan kerana sistem pengesanan kes adalah melalui program ujian bersasar dan bukan secara umum atas sebab daerah Muar yang masih berada dalam zon merah.

“Justeru, kami ingin mempersoal tindakan JKN Johor yang tidak membenarkan ujian saringan pada skala besar pada peringkat umum di daerah Muar sedangkan di daerah zon merah yang lain seperti Johor Bahru dan Kulai, program seumpama ini dibenarkan,” kata Bee Yin.

Justeru beliau menggesa JKN Johor mengeluarkan garis panduan jelas dan seragam bagi setiap daerah dalam isu ujian saringan COVID-19 ini.

Advertisement

“Ini sangat penting kerana trend peningkatan kes positif di Johor saban hari yang masih tidak menunjukkan penurunan,” ujarnya lagi.

Kata Bee Yin, kadar positif semasa COVID-19 di Malaysia adalah sekitar 6 hingga 8 peratus, bermakna untuk setiap 100 orang yang menjalani ujian saringan, 6 hingga 8 orang didapati positif.

“Satu kadar yang tinggi jika dibandingkan dengan penanda aras yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu hanya 5 peratus,” katanya.

Advertisement

Ujarnya lagi, terdapat banyak lagi kes positif COVID-19 yang masih tidak dapat dikesan disebabkan kurangnya jumlah ujian saringan pada skala besar di peringkat umum.

“Tujuan mengapa ujian pada peringkat umum sangat penting adalah disebabkan peningkatan kes sporadik yang bermaksud kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

“Justeru, Menteri Kesihatan digesa supaya memandang serius isu kekurangan ujian saringan di samping mengeluarkan satu garis panduan yang jelas dan seragam kepada mana-mana badan yang ingin menganjurkan program ujian saringan pada peringkat umum,” katanya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top