ENTAH ramai perasan atau tidak yang tulisan jawi untuk johor ditulis dengan جوهر (Jim, Wau, Ha, Ro) dan bukannya جوهور (Jim, Wau, Ha, Wau, Ro). Saya kali pertama membaca tulisan jawi Johor ini pada kemeja-T yang sering kelihatan di mana-mana banyak dipakai orang Johor.
Ini membawa kepada pencarian asal nama Johor. Rupa-rupanya betullah tekaan saya apabila membaca nama negeri itu sebagai ‘Jauhar’. Itulah ejaan asal dalam bahasa Arab yang digelar pada pedagang Arab yang berdagang di Johor kala itu. Dari situlah kemudiannya sebutan itu berubah menjadi ‘Johor’. Uniknya dengan orang Johor, walaupun ditulis dengan tulisan jawi moden hari ini, mereka tetap mengekalkan ejaan mengikut tulisan Arab.
Jauhar bermaksud permata. Adakah yang dimaksudkan pedagang Arab ialah negeri ini kaya dengan permata atau ia menjadi komoditi perdagangan utama masih tidak dapat disahkan.
Cuma dalam rekod yang jelas dalam era British, pedagang Arab Hadhrami yang rapat dengan Sultan Abu Bakar telah diberikan hak melombong hasil bumi di Johor. Begitu juga diizinkan Sultan Pahang untuk perlombongan di Raub, Pahang.
Keluarga al-Junied dan al-Sagof yang mendapat hak berkenaan kemudiannya tidak lagi mendapat keistimewaan apabila Enakmen Perlombongan 1911 diperkenalkan. Sungguhpun begitu, keluarga Arab Hadhrami ini masih mendapat 12 lesen melombong menurut undang-udang British sejak 1914 sehingga 1942.
Jika kita telusuri lebih dalam lagi, menurut Sejarah Melayu yang dipercayai ditulis sekitar tahun 1614, Johor pernah dinamakan sebagai “Klang Kio” dalam bahasa Siam yang bermaksud “Gudang Permata”. Sebutan nama “Klang Kio” kemudiannya beransur berubah menjadi Gangga ayu. Jadi, ia lebih awal sudah dikaitkan dengan hasil bumi berupa permata. Orang-orang Jawa pula menyebut kerajaan ini sebagai “Galuh” yang turut memberi maksud permata.
Pencarian diteruskan sehingga saya bertemu pula salah satu nama permata yang didapati di Afrika Timur atau khususnya Lembah Umba yang bersempadan dengan Tanzania dan Kenya.
Permata itu dinamakan “Malaia garnet”. Sebutan Malaia dalam bahasa Swahili itu diterjemahkan mereka sebagai “berasal dari kepulauan Melayu”. Walaupun nama Malaia ini menjadi kontroversi di kalangan peminat permata, ini benar-benar menyentak fikiran saya apabila teringat kajian Lynda Shaffer yang menyatakan pada abad pertama Sebelum Masihi lagi orang Melayu sudah menjejaki Afrika Timur.
Ditambah pula pelayar awal Melayu yang menetap di Zanzibar (pulau berdekatan Tanzania) turut meninggalkan budaya mirip orang Melayu seperti mengunyah sireh hingga kini. Kewujudan tumbuhan sireh, pinang dan tebu di sini juga dipercayai berasal dari kepulauan Melayu.
Apakah batu pertama “Malaia garnet” yang berwarna oren kemerahan atau oren kekuningan ini merupakan jenis yang sama didapati di Tanah Melayu? Mungkinkah orang Melayu yang menemukannya di benua Afrika kala mereka masih tidak menghargai permata ini? Adakah permata ini yang diperdagangkan oleh pedagang Arab di Johor suatu ketika dahulu?
Pelbagai persoalan boleh ditimbulkan namun kesimpulan tidak semudah itu boleh dibuat. Cuma apa yang pasti ialah Johor pernah suatu ketika dahulu terkenal sebagai kerajaan yang memiliki permata yang berharga sehingga dinamakan Jauhar apabila para pedagang Arab mula mendapat tempat di sini.
Jika anda anak Johor, apabila membaca tulisan jawi nama Johor, ingatlah bahawa tanah ini pernah menyimpan kekayaan hasil bumi sehingga melekat namanya di bibir pedagang Arab sebagai Jauhar. Begitu eratnya nama Jauhar ini hingga kini tulisan jawi tetap mengekalkan ejaan asal Arab itu untuk nama negeri Johor walaupun sudah wujud sistem ejaan jawi baharu.
Johorkini