BM | EN | 中文

Kenali Bangsa melalui Bahasa

lawatan-1.jpg

Lawatan bersama rakan-rakan sekelas

Advertisement

Kita sering mendengar hadis yang bermaksud “tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negara China”. Dalam ilmu hadis, hadis ini dikategori sebagai hadis dhaif (lemah) malah ada juga berpendapat ia bathil (palsu).

Namun, kebanyakan ulama’ yang menerimanya sebagai dhaif menjadikan hadis ini sebagai sumber motivasi, bukannya penentu hukum.

Justeru, hadis ini telah menarik perhatian saya untuk menjelajah ke negara China. Sememangnya jika kita telusuri garis masa sejarah, pada zaman kenabian China merupakan kuasa besar Timur manakala Rom sebagai kuasa besar Barat.

Advertisement

Jadi, China boleh dianggap sebagai tanah jauh dari Semenanjung Arab. Demi ilmu, sejauh mana pun harus diusahakan.

Sehingga ke hari ini, China mempunyai populasi terbanyak di dunia. Ini sekaligus menjadikannya sebagai negara dengan majoriti rakyat bukan Islam terbesar di dunia. Sudah tentu ada sesuatu yang unik di sini dalam pelbagai aspek.

Di hadapan pintu utama university

Keunikannya boleh kita perhatikan apabila menetap di sini lebih lama. Jika kita sekadar cuti-cuti seminggu dua, barangkali penilaian kita kurang tepat. Mungkin kita berminat pada membeli-belah sahaja tetapi kurang selesa dengan situasi dan keadaan hidup di sini.

Advertisement

Di universiti tempat saya belajar, ilmu bahasa turut diterapkan dengan nilai budaya. Benarlah pepatah Melayu berkata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Dengan mempelajari bahasa, kita dapat mengenal bangsanya.

Keunikan utama yang saya perhatikan dalam jiwa kebanyakan orang China ialah bersungguh-sungguh dan gigih. Contohnya, semua laoshi (guru) saya menepati masa dan tenaga mereka mengajar kami sentiasa konsisten aktif.

Dari kelas pertama hingga habis semester, semangat dan kesungguhan tidak menurun. Setiap sesi pembelajaran, wujud komunikasi dua hala kerana laoshi mahu setiap xuesheng (pelajar) faham apa yang dipelajari.

Advertisement

Dalam kelas pertama lagi saya sudah disuruh menyanyikan lagu Mandarin. Inilah akibatnya apabila buat-buat pandai nyanyi lagu Gong Xi Gong Xi Gong Xi Ni.

Walaupun saya hanya mampu mendendangkan bait itu sahaja, tepukan daripada laoshi sangat memberangsangkan. Tidak pernah saya dengar ulasan atau kritikan negatif daripada laoshi kepada pelajar walaupun terang-terangan kita tersalah jawab. Patutlah dalam setiap kelas, kami sangat ceria sebab hari-hari dapat aura positif dari laoshi.

Laoshi kami juga ada yang sediakan kuiz pada setiap hari. Untuk menyemak jawapan kuiz, laoshi akan panggil nama secara rawak untuk menulis jawapan masing-masing di atas papan hitam. Setiap kali nama saya dipanggil, saya pasti berdebar. Suasana tertekan ini membuatkan kami dapat menghafal hanzi (karakter tulisan Cina) dengan cepat dan boleh menulisnya dengan baik. Terima kasih laoshi.

Advertisement

Kadangkala lucu juga belajar bahasa Mandarin di sini. Pak Indera, rakanku dari Indonesia adalah seorang peniaga yang ingin mempelajari bahasa ini untuk tujuan perniagaan.

Tasik buatan di dalam universiti

Memandangkan usianya lebih 40 tahun, laoshi tak pernah memarahinya yang tidak menyiapkan tugasan kelas. Sebaliknya, laoshi akan cakap baik-baik berpesan untuknya membuat latihan kerana ia dapat membantu keberkesanan pembelajaran.

Beberapa kali juga dalam kelas laoshi berkata, “ Anjing!” Lantas kami para pelajar dari Indonesia dan Malaysia ketawa. Saya tidak dapat lupakan bagaimana reaksi Pak Indera yang cukup seronok apabila mendengar perkataan ini.
Dia rasa sangat lucu apabila laoshi berkali-kali menyebut ‘Anjing’ yang bermaksud ‘Senyap’ dalam bahasa Mandarin.

Advertisement

Apabila direnungkan, saya dapati kegigihan ini terhasil akibat persaingan sengit antara satu sama lain. Memandangkan persaingan tinggi di kalangan masyarakatnya yang ramai, mereka terpaksa berusaha lebih gigih untuk dapatkan hasil yang lebih baik. Lama kelamaan kegigihan ini menjadi budaya dalam hidup.

Begitulah yang terjadi kepada laoshi yang menginginkan kesan terbaik hasil pengajarannya berbanding laoshi lain. Nanti akan saya kongsikan persaingan orang Cina yang berpegang pada prinsip menang-menang.

Oh ya, buat pengetahuan semua, Pak Indera kini sangat fasih bercakap Mandarin. Dia sudah seakan-akan orang China. Ini semua disebabkan kegigihan beliau ditambah dengan kerapnya beliau ke Guangzhou untuk mengambil bekalan bahan perniagaannya.

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top