Oleh: Khairul Mohd Ali
PONTIAN 10 NOV: Kempen bersifat ‘troll’ yang dijalankan pembangkang memberi pahala kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini.
Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu memberi reaksi sedemikian apabila ditanya berhubung kempen dibuat laman sosial pembangkang terhadap dirinya.
Itu berikutan tindakan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang secara tidak sengaja menggelarkan Karmaine dengan panggilan ‘arwah’.
“Pembangkang punya kempen beri pahala kepada saya. Saya sendiri tidak tahu mengapa mereka berkempen sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Duku, di sini pagi ini.
Sementara itu, Karmaine bagaimanapun memberitahu perkara itu tidak menjejaskan pergerakan jenteranya dalam menyantuni lebih ramai masyarakat setempat.
“Tempat yang diklasifikasikan sebagai kawasan hitam dahulunya kini sudah semakin terbuka menerima kehadiran saya bersama jentera PH.
“Ada antara penduduk di sana yang mengambil peluang bersalaman dan bergambar. Ini satu isyarat baik dan perubahan yang positif,” katanya lagi.
JohorKini