BM | EN | 中文

Kementerian Wilayah mohon peruntukan RM400 juta naiktaraf insfrastruktur Kampung Baru

Kampung-Baru-KL.jpg

Suasana di Kampung Baru, Kuala Lumpur (Gambar Ehsan Ally Theanlyn)

Advertisement

PUTRAJAYA, 2 OKT: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memohon peruntukan berjumlah RM400 juta daripada Kementerian Kewangan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi menaik taraf infrastruktur asas Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kerja menaik taraf infrastruktur di kawasan berkenaan antaranya memperbaiki dan melebarkan jalan mengikut konsep grid.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata kementerian akan memastikan pembangunan jalan raya dan infrastruktur di kawasan itu hanya melibatkan pengambilalihan tanah yang minimum serta mendapat persetujuan daripada pemilik tanah.

Advertisement

“Ada jalan tertentu perlu ditutup dan jalan baharu terpaksa dibuat supaya jalan yang tidak begitu teratur keadaannya dapat disusun semula,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata pembangunan semula Kampung Baru akan dibahagikan kepada presint atau parcel membabitkan pecahan bagi setiap satu hektar, sekali gus membolehkan pelaksanaannya dibahagikan kepada grid tertentu atau blok lebih kecil.

Katanya, cadangan kerajaan terdahulu membabitkan pengambilan tanah daripada lebih 5,300 pemilik pada harga RM1,000 satu kaki persegi iaitu RM850 tunai dan RM150 saham Syarikat Tujuan Khas (SPV), tidak dapat diteruskan kerana kekangan kewangan, selain hanya 61 peratus penduduk sahaja bersetuju dengan tawaran itu.

Advertisement

Sementara itu, Annuar berkata KWP bersedia mendengar cadangan jalan lain untuk dinamakan semula sebagai Jalan Palestin selepas pemilihan Jalan Raja Laut 1 mendapat bantahan pelbagai pihak.

Beliau berkata berhubung isu penamaan semula jalan, pihaknya tidak menggalakkan nama yang mempunyai kaitan dengan sejarah dan negara bangsa sebaliknya nama jalan yang tidak relevan atau dalam bahasa Inggeris atau tidak mempunyai impak harus dipilih untuk dinamakan semula.

Mengenai isu pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin, beliau meminta perkara itu diteliti semula supaya memilih jalan lain tanpa mengubah nama Jalan Raja Laut 1 itu.

Advertisement

Beliau menjelaskan cadangan menamakan satu jalan di ibu negara sebagai Jalan Palestin dibuat pada tahun 2019 oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu susulan satu seminar mengenai Al-Quds, yang kemudian disyorkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan KWP.

Dalam perkembangan lain, Annuar mengesahkan satu permohonan untuk kebenaran merancang sebidang tanah di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur bagi pembinaan Istana Johor telah dihantar Jabatan Perancang Bandar, DBKL.

Mengulas surat terbuka tular di media sosial mendakwa kuarters kerajaan di Bukit Persekutuan akan dirobohkan bagi tujuan pembinaan Istana Johor, Annuar berkata Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sememangnya memiliki sebidang tanah di Bukit Persekutuan dan berhasrat membina Istana Johor di tanah berkenaan.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top