BM | EN | 中文

Kementerian Sumber Manusia tubuh jawatankuasa kenal pasti strategi bantu pekerja Malaysia di Singapura

johor-malaysia-singapura-saravanan.png
Advertisement

PUTRAJAYA, 28 OKT: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas untuk membangunkan pangkalan data komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura bagi mengenal pasti strategi dan pelan tindakan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataannya hari ini berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah ekoran peningkatan bilangan rakyat Malaysia di Singapura yang diberhentikan kerja akibat COVID-19.

“Kerajaan memandang serius perkara ini,” katanya, serta menambah mesyuarat pertama jawatankuasa itu pada 30 Okt ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KSM Datuk Jamil Rakon.

Advertisement

Saravanan berkata antara kementerian dan agensi yang akan menganggotai jawatankuasa itu ialah Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kerajaan Negeri Johor, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Saravanan, rakyat Malaysia yang kini bekerja di Singapura dianggarkan seramai 400,000 orang, dengan hampir 100,000 daripada mereka berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru manakala 300,000 orang lagi menetap di republik itu.

Advertisement

Penularan wabak COVID-19 dan peningkatan kes positif COVID-19 di Singapura menyebabkan ramai pekerja Malaysia di negara itu terjejas selepas sebilangan majikan memberi notis penutupan sementara syarikat, antara dua minggu dan sebulan bermula Februari lepas, katanya.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top