BM | EN | 中文

Kementerian Perpaduan pastikan kelab, sekretariat Rukun Negara diwujudkan seluruh negara

Kementerian-Perpaduan-Negara-Merdeka-63.jpg

Gambar Ehsan Kementerian Perpaduan Negara

ISKANDAR PUTERI, 30 OGOS: Kementerian Perpaduan Negara akan memastikan Kelab Rukun Negara diwujudkan di setiap sekolah di negara ini dalam usaha menerapkan lima prinsip Rukun Negara dalam diri pelajar.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata beliau juga akan memastikan usaha itu turut dilakukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menerusi penubuhan Sekretariat Rukun Negara yang diperkenalkan pada 2008.

Katanya setakat ini terdapat 6,621 Kelab Rukun Negara di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sejak 2004 dan 172 Sekretariat Rukun Negara di IPT.

“Kementerian ketika ini menggerakkan usaha agar Kelab Rukun Negara ditubuhkan di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan. Begitu juga Sekretariat Rukun Negara diwujudkan di semua IPTA dan IPTS.

“Ini kita lakukan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi serta kerjasama rakan strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas Program Penghayatan Rukun Negara dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 Peringkat Negeri Johor 2020, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Halimah berkata Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara digerakkan sendiri oleh pelajar sebagai satu tanggungjawab bersama dalam menerapkan prinsip rukun negara itu.

Sementara itu, Halimah berkata pihaknya menerima lebih 8,000 penyertaan dalam sesi maklum balas rakyat berhubung draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 yang diadakan di Perlis, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang, Perak, Melaka, Terengganu sejak 22 Ogos lepas.

Sesi serupa diadakan di Johor hari ini, katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top