BM | EN | 中文

Kementerian Pendidikan terima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion

tengku-zafrul-bajet-2022.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi tahun 2022, kerajaan bersetuju menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150, meningkat berbanding RM100 sebelum ini bagi membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Beliau berkata sejumlah RM450 juta diperuntukkan bagi tujuan itu yang dijangka memanfaat tiga juta murid yang layak.

Advertisement

“Tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan. Setiap awal tahun, tentunya ibu bapalah yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid semasa pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR), kerajaan buat kali pertama menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru di bawah KPM.

Beliau berkata sejumlah RM1 bilion pula disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding RM100 juta yang diperuntukkan pada tahun ini.

Advertisement

“Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10,000 sekolah di bawah KPM akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam,” katanya.

Katanya RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bagi tahun 2022.

Di samping itu, kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta pada tahun hadapan dengan sebilangan besar peruntukan adalah untuk 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

Advertisement

Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, kerajaan menyediakan RM50 juta antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas selain lapan blok baharu dibina termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah, Melaka.

Selain itu, RM400 juta diperuntukkan bagi penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top