MERSING, 8 FEB : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melihat kembali tanah dimiliki jabatan di bawah kementerian atau agensi agar tanah berkenaan diberikan kepada mereka yang benar-benar berminat dalam bidang pertanian.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian mempunyai banyak tanah yang belum diusahakan dan juga tanah diberikan kepada mereka yang kurang tepat.
“Sebagai contoh tanah di pusat pertanian moden, tanah kawasan tanaman kekal makanan negara yang semuanya akan saya lihat polisi dan kaedahnya.
“Dengan pendekatan ini kita akan berikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan khususnya anak-anak muda yang berminat masuk bidang pertanian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Projek Kluster Nanas Lestari (KNAL) Tanah Abang, Mersing, hari ini.
Tambahnya, kementeriannya akan menjadi pemudah cara pada masa akan datang dengan polisi-polisi yang lebih lunak.
Jelasnya, ia supaya anak muda sama ada sekarang masih belajar mahupun mereka yang mahu menjadikan pertanian sebagai bidang untuk bergelar jutawan pihaknya akan cuba bantu.
Johorkini