BM | EN | 中文

Kemelut PSM: KBS tunggu laporan penuh Pesuruhjaya Sukan

Reezal-Merican-Naina.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu laporan penuh daripada Pesuruhjaya Sukan berhubung kemelut yang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dijangka dibentangkan pada Khamis ini.

Menterinya Reezal Merican Naina Merican berkata berdasarkan maklumat awal, Pesuruhjaya Sukan telah bertemu dengan persatuan sepak takraw negeri yang menarik diri serta mereka yang masih memegang jawatan dalam PSM bagi membincangkan kemelut tersebut.

“Saya akan menunggu dapatan dan hasil pertemuan yang telah dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan, biar proses tersebut selesai terlebih dahulu.

Advertisement

“Lagi pun PSM juga mempunyai tempoh 14 hari iaitu sehingga 4 Jun ini untuk mengemukakan rayuan berhubung kes mereka.

“Sebagai menteri saya bukan hanya perlu jaga persatuan sukan, sebaliknya pembangunan sukan itu sendiri. Jadi jika ada persatuan sukan yang menyebabkan terbantutnya pembangunan sukan, sudah tentu tindakan akan diambil.

“Lagi pun soal kemelut dalam sukan, kita kena kembali dan melihat kepada proses undang-undang, peraturan dan perlembagaan (persatuan sukan),” katanya kepada pemberita di George Town semalam.

Advertisement

Reezal Merican berkata PSM juga ketika ini masih persatuan yang sah selagi tidak ada laporan atau aduan dibuat menyebabkan persatuan itu dibatalkan.

Sebelum ini, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Susulan itu, 11 persatuan sepak takraw negeri menarik diri sebagai ahli gabungan PSM dengan terbaru adalah Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (Astaka).

Advertisement

Turut berbuat demikian sebelum ini adalah empat persatuan iaitu Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSTJ), Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak).

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top