BATU PAHAT, 22 OGOS: Seramai 500 orang menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Batu Pahat 2019 sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-62.
Konvoi Kembara Jalur Gemilang yang berlangsung kelmarin kemudiannya bergerak dari Dataran Pejabat Daerah Batu Pahat menuju ke lapan lokasi.
Antaranya SK Seri Utama Sungai Nibong Semerah, Dataran Parit Sulong, Pekan Sri Medan, Arena Warna Ayer Hitam, SMKA Parit Raja, Pejabat Tanah dan Daerah Kecil Rengit, Dataran Senggarang dan Dataran Penggaram.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat Ahmad Nazri Rebu, berkata rakyat Malaysia terutamanya di negeri ini diseru untuk menyalakan semangat sambutan Hari Kemerdekaan melalui program mengibarkan Jalur Gemilang.
Beliau dipetik Malaysia Aktif sebagai berkata, kemerdekaan negara ini perlu dikekal dan dipelihara sebaik-baiknya, dan bukan hanya menjadi bahan permainan politik.
“Kita dapat berkumpul dalam suasana yang cukup aman dan harmoni pada hari ini.
“Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa ia berkat jasa, bakti dan pengorbanan perajurit serta anggota keselamatan tanah air yang selama ini tidak mengenal erti penat lelah, berkorban apa sahaja, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa,” katanya lagi.
Tambah beliau, sambutan meriah yang diberikan terhadap program kembara ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama, latar belakang dan budaya masih mempunyai semangat cintakan negara.
Sementara itu Ketua Kampung Parit Kuda Semerah, Mohd Faizal Dollah berkata program seumpama ini dapat mengajak orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis masing-masing bagi menambahkan lagi semangat kecintaan kepada negara.
Manakala aktiviti pengedaran bendera ke sekolah-sekolah dapat memupuk semangat patriotisme dan mendidik jiwa para pelajar untuk menghargai erti sebuah kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa penuh bangga.
Melalui program bersemuka dengan masyarakat, ia dapat menyalakan lagi semangat kemerdekaan bersempena sambutan hari kebangsaan yang bakal tiba tidak berapa lama lagi.
Katanya, masyarakat perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang dikecapi hari ini tidak datang secara percuma, namun perlu dibayar dengan harga yang mahal melalui keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu termasuk anggota pasukan keselamatan.
Johorkini