BM | EN | 中文

Kembara Kesihatan Johor 2020 – Fokus pupuk kesedaran kesihatan penduduk luar bandar

IMG-20191225-WA0035.jpg

BATU PAHAT, 25 DIS: Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menganjurkan jelajah Kembara Kesihatan Johor 2020 dengan menfokuskan kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk di luar bandar.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan negeri melalui Belanjawan Johor 2020 telah memperuntuk RM1 juta untuk melaksanakan kembara tersebut.

Katanya, jelajah itu akan bergerak ke seluruh daerah di negeri ini untuk menyebarkan kesedaran kepada penduduk-penduduk di luar bandar tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

“Ini termasuklah bukan sahaja dari segi penjagaan berat badan, tetapi untuk memupuk kesedaran tentang penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes yang boleh membahayakan kesihatan,” katanya.

Mohd Khuzzan yang juga ADUN Semerah berkata demikian kepada wartawan semasa sidang media selepas melancarkan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah Fit Challenge 40-day 2.0 di Dewan Orang Ramai Pekan Parit Raja, di sini.

Tambahnya, seperti sedia maklum, negara kita kini ke arah negara maju, tetapi masih menampung masalah yang serius.

“Contohnya kadar purata penggunaan katil (BOR) yang hampir mencatatkan 100 peratus di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang,” katanya.

Terdahulu semasa ucapan perasmiannya, beliau memaklumkan bahawa antara servis yang akan diadakan pada jelajah tesebut termasuklah ujian saringan kesihatan untuk penduduk-penduduk di kawasan terlibat.

Ujarnya lagi, manakala pada tahun 2021, kembara tersebut akan diadakan di kawasan pinggir bandar dan pada tahun 2022 kembara itu akan diadakan di kawasan bandar.

“Daripada program jelajah itu, masyarakat akan diberikan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan supaya dapat mencegah penyakit yang boleh membawa padah kepada diri kita sendiri,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top