KUALA LUMPUR, 20 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebentar tadi mengesahkan kematian ketiga berkaitan wabak Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata korban ialah pesakit 152, iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun daripada kluster jemaah Tabligh.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan satu (1) kematian COVID-19 (kes ke-152) pada hari ini iaitu pada jam 6.27 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian COVID-19 setakat ini tiga (3) kes.
“Kes ke-152 ini merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 dengan mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.
“Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada jam 6.27 petang.
“Takziah diucapkan kepada keluarga arwah,” kata Noor Hisham.
Johorkini turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-fatihah.
Pada 17 Mac lalu, pesakit 178, iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menghadiri perhimpunan itu, disahkan meninggal dunia di Johor.
Seorang lagi mangsa ialah pesakit 358, iaitu seorang paderi berusia 60 tahun di Sarawak.
Johorkini