JOHOR BAHRU, 25 APR: Kerajaan Johor mendapati trend kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura semakin meningkat sejak 22 April lalu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan.
Katanya, sebelum ini bilangan rakyat Malaysia yang kembali ke Malaysia melalui pintu masuk darat iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) adalah pada kadar purata 300 orang sehari.
“Walaubagaimanapun, bilangan ini telah meningkat melebihi 800 orang sehari,” kata Vidyananthan dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bilangan yang ramai pada satu masa yang sama telah menjadikan waktu menunggu lebih lama untuk agensi terlibat melakukan saringan dan penempatan di pusat kuarantin.
“Saya ingin menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura supaya merancang waktu untuk balik ke Malaysia supaya dapat mengelakkan menunggu lebih lama daripada biasa.
“Saya juga berharap individu yang berhajat untuk melakukan perjalanan masuk ke negara ini agar melakukan persiapan awal sewajarnya,” tambah beliau.
Johorkini