ISKANDAR PUTERI, 12 SEPT: Kerajaan Johor telah bersiap sedia menghadapi masalah kemerosotan air sungai dan penurunan paras air empangan akibat kemarau berpanjangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse.
Menurutnya, kerajaan Johor telah menyempurnakan beberapa buah projek penyaluran sumber air sama ada dari empangan ke empangan, dari sungai ke empangan atau dan dari empangan terus ke loji rawatan air.
“Sekiranya storan empangan berada di bawah paras amaran (80 peratus storan air mentah), maka pemindahan air akan dilaksanakan” katanya.
Jimmy Puah (PH-Bukit Batu) berkata demikian menjawab soalan Najib Lep (BN-Bukit Pasir) berhubung langkah kerajaan negeri bagi menangani isu bekalan air bersih ekoran penurunan paras air empangan di Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Kota Iskandar, hari ini.
Beliau berkata, antara projek yang dilaksanakan bagi menghadapi masalah bekalan air antaranya Projek Penyaluran Air Mentah Petronas (PAMER), Projek Layang 2 Fasa 2 dan Projek penyaluran air mentah dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timur.
Tambahnya, kerajaan Johor juga telah mengemukan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek sumber air seperti Cadangan Empangan Sg. Ulu Sedili Besar, Cadangan Barrage Sg. Sedili Besar dan Cadangan Coastal Reservoir Sg. Johor dan Sg. Pulai.
“Kerajaan Johor berharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020,” kata Jimmy.
Johorkini