BM | EN | 中文

KELULUSAN AKADEMIK SEMATA-MATA BUKAN JAMINAN DAPAT PEKERJAAN – MB JOHOR

dr-sahruddin-kpypj-konvokesyen-2019.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 14 SEPT: Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini menasihati para graduan masa kini supaya tidak hanya mempertaruhkan kelulusan akademik semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Berucap pada majlis konvokesyen Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor ke-22, di Kolej Yayasan Pelajaran Johor, di sini hari ini, Dr Sahruddin berkata pada masa kini kebolehpasaran graduan diukur berdasarkan merit dan kemahiran yang dimiliki sama ada sesuai dengan kehendak dan persekitaran pekerjaan abad 21 yang memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata ini dibuktikan apabila Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini menyatakan lebih separuh graduan tempatan akan menganggur sekiranya mereka tidak melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan industri masa kini.

Advertisement

Terdahulu, Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama tahun ini turut merekodkan seramai 174,327 siswazah sudah mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja dan kebanyakan graduan memohon pekerjaan hanya berjaya ke peringkat pertengahan.

“Persaingan pekerjaan kini semakin mencabar, sudah tiba masanya bagi graduan perlu serius memikirkan untuk bertukar pendirian daripada ‘Job Seeker’ kepada ‘Job Creater’ iaitu menjadi usahawan kepada perniagaan sendiri.

“Dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang melibatkan penggunaan robotik dan kecerdasan buatan, dalam tempoh lima tahun dari sekarang sektor industri pekerjaan memerlukan individu yang berkemahiran tinggi, berkemampuan mendepani cabaran teknologi dan realiti maya,” katanya.

Advertisement

Menurut Dr Sahruddin, penguasaan empat elemen seperti Critical Thinking (kemahiran pemikiran kritis), Problem Solving (penyelesaian masalah), Communication (komunikasi) dan Collaboration and Creativity (kolaborasi dan kreativiti) perlu diaplikasi pada semua peringkat pengajian sebagai persediaan mendepani IR 4.0 selain berupaya mencakna sebuah perubahan yang lebih progresif.

“Kemahiran 4C ini harus diasah kepada semua pelajar universiti daripada setiap penjuru kehidupan bagi merentasi cabaran dan kemajuan dunia hari ini,” katanya.

Dr Sahruddin dalam pada itu berkata, inisiatif penubuhan Universiti Johor menjelang 2021 yang akan menawarkan pelbagai kursus peringkat diploma, ijazah dan sarjana menepati kehendak pembangunan ekonomi negeri ini sekali gus membuka lebih peluang kepada lepasan sekolah terutama dari kalangan anak Johor untuk menyambung pelajaran dalam bidang-bidang yang dapat membantu meningkatkan kepesatan pembangunan ekonomi negeri.

Advertisement

Tambahnya, agenda penambahbaikan pendidikan tinggi akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan negeri di mana ianya sudah diterjemahkan di dalam pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2019 yang meliputi pengenalan pelbagai insentif baharu bagi golongan mahasiswa.

“Antaranya, Insentif Harapan Siswa, Biasiswa Sultan Ibrahim bagi pembiayaan pelajar cemerlang 2019 serta pinjaman pengajian yang diperuntukkan pihak Yayasan Pelajaran Johor. Ketiga-tiga insentif ini telah menerima sentuhan penambahbaikan yang lebih komprehensif dan bersifat menyeluruh.

“Ini merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memacu kecemerlangan pendidikan di negeri ini kerana pendidikan merupakan ramuan asas yang harus dimiliki negeri Johor untuk muncul sebagai sebuah negeri yang maju dan bertamadun tinggi,” katanya.

Advertisement

Pada konvokesyen itu, seramai 991 graduan dari pelbagai bidang menerima diploma dan sijil dengan 750 orang daripadanya merupakan graduan dari Kolej Yayasa Pelajaran Johor manakala bakinya daripada Kolej Kemahiran Johor (KKJ).

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top