BM | EN | 中文

Keluarga kedua pengubat rindu pelajar UTM beraya di perantauan

Pelajar-Jurusan-Ijazah-Software-Engineering-Universiti-Teknologi-Malaysia-UTM-Skudai-Sayem-Rahman-24.jpg

Pelajar Jurusan Ijazah Software Engineering Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Sayem Rahman, 24 (Gambar Ehsan Bernama)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 25 MEI: Beraya di perantauan pastinya menjadi satu cabaran besar kepada mereka yang buat pertama kali menyambut Aidilfitri dengan cara sedemikian.

Namun kehadiran keluarga kedua yang bermurah hati menyediakan juadah istimewa untuk menyambut Aidilfitri sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan Sayem Rahman terhadap keluarganya di Dhaka, Bangladesh.

Sayem, 24, pelajar tahun empat jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, berkata ini adalah pertama kali dia menyambut lebaran tanpa keluarga di sisi.

Advertisement

“Pada mulanya, saya memang merancang untuk pulang namun disebabkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, saya mendapati tidak banyak slot penerbangan dibuat ke Dhaka. Jadi, saya tidak meneruskan niat untuk membeli tiket penerbangan,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, semalam.

Sayem yang boleh memahami dan bertutur dalam Bahasa Melayu berkata dia juga risau keputusannya pulang ke kampung kelak akan menjejaskan tumpuannya untuk belajar terutama apabila dia harus menjalani latihan industri tidak lama lagi.

“Ini (latihan industri) lebih penting. Mujurlah di sini (UTM) saya ada keluarga kedua, bersama rakan-rakan senegara dan juga pelajar jurusan lain. Ia bagaikan sudah menjadi ‘rumah’ sendiri.

Advertisement

Pagi tadi kami sempat diraikan oleh pihak universiti dengan pengagihan kuih raya dan makanan Aidilfitri,” katanya yang sangat menyukai masakan nasi ayam dan cendol.

Sayem menambah sebagai mengubat kerinduan terhadap keluarga, dia merancang untuk memasak sendiri makanan tradisi Bangladesh bersama lapan rakannya, malam ini.

“Mungkin kami akan membuat ‘payesh’, ‘haleem’ dan ‘kacchi briyani’. Payesh ialah sejenis puding nasi diperbuat daripada nasi dan daging yang dicampur dengan gula dan kadang-kala santan; haleem pula merupakan rebusan atau sup daging yang dimasak bersama kacang dal manakala kacchi biryani adalah nasi beriani kambing yang dimasak antara satu hingga dua jam.

Advertisement

Proses masakan akan menjadi sangat mudah kerana kami sudah ada semua rempah yang diperlukan yang dibeli ketika pulang ke Dhaka sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Asraful Syifaa Ahmad, 27, pula sambutan Aidilfitri bersama keluarga kedua tidak kurang juga meriahnya kerana terdapat pelbagai pengisian program boleh dilakukan.

“Saya turut menjadi pembantu felo kolej dan Presiden Persatuan Pelajar Lepasan Ijazah Fakulti Pengkomputeran. Oleh itu dalam tempoh sehari itu, jadual agak padat dengan program menyediakan makanan dan lain-lain. Jadi tidaklah begitu terasa kesunyian apabila berjauhan dengan keluarga.

Advertisement

Keluarga pula jenis yang memahami, mereka tidak marah dengan pilihan saya untuk tidak pulang ke kampung walaupun terdapat peluang disediakan kerajaan sebelum ini untuk pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top