JOHOR BAHRU, 28 FEB: Meskipun telah mengumumkan keluar PKR dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isu setempat di parlimen Tebrau tetap diperjuangkan.
Ahli parlimen Tebrau, Steven Choong berkata isu banjir kawasan, isu pembuangan sampah haram, isu along yang bertambah teruk, isu scam, PPR dan Rumah Pangsa Kos Rendah/Murah akan terus ditangani.
Selain itu isu perlesenan di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang menghalang kemasukan pelaburan asing, pencemaran sungai, masalah perusahaan kecil dan sederhana dan isu pekerja asing dan tempatan harus ditangani secepat mungkin.
“Saya berharap dengan pengalaman saya sebagai akauntan, juruaudit luar dan dalaman, agen cukai dan perunding perniagaan selama 40 tahun, saya boleh bekerjasama dengan semua menteri dan agensi kerajaan untuk mencari penyelesaian untuk isu-isu tersebut,” kata Steven dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, beliau sudi membantu mana-mana pihak kerajaan khususnya dalam bidang kepakaran saya.
“Sekiranya dipanggil, saya sudi bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari atau merancang atau merangka sistem percukaian supaya hasil kutipan cukai akan meningkat dan pada masa yang sama tidak membebankan kumuniti perniagaan dan rakyat.
“Saya berharap juga menjadi orang tengah atau jambatan di antara kerajaan dan komuniti perniagaan supaya isu-isu rakyat dapat perhatian kerajaan,” katanya lagi.
Johorkini