JOHOR BAHRU, 18 JUL: Kerajaan diminta memertimbangkan semula cadangan kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19.
Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor dalam satu kenyataan hari ini berkata, individu yang telah melengkapkan dua dos dibimbangi menjadi pembawa (carrier) virus Covid-19.
“Kami menyeru kerajaan untuk mengkaji semula cadangan tersebut kerana mereka yang telah ambil dua dos vaksin mungkin kurang risiko untuk dijangkiti virus Covid-19, tetapi mereka masih boleh menjadi pembawa (carrier) virus Covid-19.
“Ini adalah sesuatu yang boleh memudaratkan usaha untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 di negara kita,” menurut kenyataan tersebut.
Namun kata MUDA Johor, kelonggaran pergerakan kepada mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin hanya apabila imuniti kelompok telah dicapai secara minimum 60 sehingga 70 peratus.
“Perkara ini perlu untuk menjamin tiada penularan wabak Covid-19 melalui mereka yang telah mengambil dua dos vaksin,” katanya lagi.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan kelonggaran pergerakan bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.
Beliau juga telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.
Johorkini