JOHOR BAHRU, 25 SEPT: Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Barry O’Connell berkata, kelestarian adalah penting dalam setiap aspek perniagaan.
Katanya, Coca-Cola Malaysia amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan SWM Environment untuk program pembersihan pantai.
Usaha itu katanya sejajar dengan visi ‘World Without Waste’, iaitu mengumpul dan mengitar semula botol atau tin untuk setiap yang dijual pada tahun 2030.
“Peralihan minda amat diperlukan untuk mengurangkan kadar sisa dan meningkatkan amalan kitar semula di kalangan rakyat Malaysia.
“Untuk melakukannya, kita perlu meningkatkan kesedaran secara kolektif dan membantu masyarakat memahami nilai dalam kitar semula, proses dan cara mengitar semula.
“Melalui program pembersihan pantai, kami percaya bahawa ‘World Without Waste’ boleh dicapai jika kita semua menggunakan kepakaran dan sumber daya kita untuk menyelesaikan masalah pembuangan sampah.
“Lebih penting, bekerjasama ke arah persekitaran yang sihat supaya kita semua boleh kekalkan persekitaran untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Program World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan pada 22 September lalu itu turut menyaksikan sukarelawan, Dr Syamsul Hendra Mahmud dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Hadiah Kutipan Pembersihan Tertinggi berbentuk mata ganjaran KITARecycle berjumlah 1,500 setelah membersihkan sisa pepejal seberat 89.5 kilogram.
Antara lokasi yang terlibat dengan aktiviti pembersihan di negeri Johor adalah seperti Pantai Senibong, Johor Bahru, Pantai Seri Menanti, Muar, Gunung Lambak, Kluang dan Gunung Pulai, Kulai di samping sembilan lokasi di Negeri Sembilan dan empat lokasi di Melaka.
Johorkini