BM | EN | 中文

Kekal AUKU bungkam suara anak muda

AUKU-akta-universiti-kolej-universiti.jpg

PONTIAN, 18 OGOS: Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang mahu dikekalkan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai langkah membungkam suara anak muda.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyuarakan keresahan itu di Dewan Rakyat semalam berkata, akta itu akan menyekat suara anak muda di negara ini.

Mengulas isu sama, Adun Pulai Sebatang, Muhamad Taqiuddin Cheman berkata, tindakan kerajaan itu dilihat bercanggah, sedangkan sebelum ini rang undang-undang Undi 18 tahun diluluskan, sedangkan sekatan terhadap suara anak muda dikekalkan.

“Bagaimana anak muda mahu bersuara sedangkan Auku masih ada? Ini menyekat suara mereka dari terus memberi pandangan terhadap sistem demokrasi di negara ini.

“Dewan Rakyat sebelum ini telah meluluskan untuk menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

“Anak muda pastinya akan tersekat dengan akta tersebut dan mereka tidak mampu untuk menzahirkan pandangan mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mendesak kerajaan merombak Auku yang membataskan pandangan kritikal anak muda.

“Kerajaan perlu merombak semula Auku agar anak muda di negara ini mampu bersaing untuk memberi pandangan politik mereka.

“Sekiranya kerajaan mahu menimbulkan kesedaran anak muda berkenaan daftar undi, kerajaan juga harus memberi peluang dan ruang kepada anak muda menyatakan pandangan mereka, bukan menyekat seperti yang berlaku dalam Auku.

“Anak muda tidak tertarik dengan Undi 18 ini sekiranya suara atau pandangan mereka disekat,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top