BM | EN | 中文

Kejuaraan Liga Super ketujuh JDT dedikasi buat Safawi dan Tunku Ismail – Mora

Kejuaraan-Liga-Super-ketujuh-JDT-dedikasik-buat-Safawi-dan-Tunku-Ismail-Mora.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU 3 OKT: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora berkata gelaran Juara Liga Super yang dimenangi pasukan itu buat kali ketujuh berturut-turut adalah hadiah perpisahan terbaik untuk penyerangnya Muhammad Safawi Rasid.

Mora mengakui pemain JDT dan kakitangan kejurulatihan merasa sedih dengan penghijrahan penyerang kebangsaan itu yang tidak akan bermain di Liga Malaysia musim hadapan dan akan berlepas malam ini untuk menyertai pasukan Liga Premier Portugis — Partimonense SC.

JDT menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor malam tadi bagi menjuarai Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Advertisement

“Perlawanan semalam adalah amat berbeza buat kami kerana kami mahu memberikan sesuatu yang bermakna untuk dia (Muhammad Safawi) sebelum dia meninggalkan kami.

“Saya juga mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada bos kami Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” kata beliau di dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

“Saya tidak tahu sama ada dia akan bermain untuk kami di masa hadapan tetapi saya mengharapkan yang terbaik buatnya,” kata Mora yang membawa JDT menjulang Piala Liga Super tiga kali sejak dilantik selaku Ketua Jurulatih JDT pada 2018.

Advertisement

Sejak mula menyarung jersi JDT pada 2017, Muhammad Safawi membuat 101 penampilan, menyumbat 47 gol dan membantu 18 penjaringan gol, selain membantu JDT menjuarai Liga Super empat kali, Piala Malaysia dua kali dan Piala Sumbangsih tiga kali.

Kemenangan JDT itu melayakkan JDT beraksi dalam kejohanan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

Dalam perlawanan menentang Sabah, penyerang dari Brazil, Diogo Luis Santo meletakkan JDT di hadapan dengan gol pada minit ke-38 sebelum Muhammad Safawi menyumbang dua gol masing-masing pada minit ke-56 dan ke-81 sebelum disusuli gol keempat daripada Leandro Velazquez pada minit ke-84.

Advertisement

Bagaimanapun, Sabah mendapat satu gol sagu hati menerusi Dennis Buschening pada minit ke-74 perlawanan.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top