BM | EN | 中文

KEJORA tumpu pembangunan produk pelancongan desa dan pertanian

Lembaga-Kemajuan-Johor-Tenggara-KEJORA.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) akan turut menumpukan pada pembangunan produk pelancongan terutamanya pelancongan desa dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan penduduk di wilayah Johor Tenggara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Kubu British Perang Dunia Ke-2 (Gambar Ehsan FB Saya Orang Johor)

Beliau berkata antara produk pelancongan menarik adalah The Wetlands di Kampung Belukar Durian dan pembangunan Pusat Penternakan dan Penetasan Belangkas di Sedili Kecil, Muzium Nelayan Tanjung Balau, selain Kubu British Perang Dunia Kedua di Pengerang.

“Selain itu, KEJORA juga akan memberi fokus pada pertanian di kawasan seluas 2,000 ekar (809 hektar) dalam usaha menjadi penyumbang kepada industri pengeluaran negara.

Advertisement

“Antara program pertanian KEJORA termasuk Program Tanaman Campuran, Projek Ladang Buah Berskala Besar (EPP7) – tanaman nanas, dan pembangunan akuakultur,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Abd Latiff melakukan lawatan kerja ke KEJORA yang merupakan siri ketiganya ke agensi-agensi seluruh negara selepas Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) disusuli Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Lawatan kerja itu bertujuan meninjau kemajuan dan menilai semula pembangunan di wilayah itu sesuai pakej prihatin rakyat yang diumumkan kerajaan untuk merangsang ekonomi rakyat.

Advertisement

Muzium Nelayan Tanjung Balau, Kota Tinggi (Gambar Ehsan Blog Gadis Bunga)

Abd Latiff yakin usaha memperkukuh agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar di seluruh negara secara komprehensif penting supaya agensi-agensi kementerian itu terus relevan dan menjadi pejuang orang kampung, sesuai visi kementerian membawa kesejahteraan di luar bandar.

Katanya program keusahawanan juga dilihat sebagai tunjang dalam usaha kerajaan menjana ekonomi rakyat.

“Aktiviti di bawah Program Peningkatan Pendapatan KEJORA adalah Skim Bantuan Modal Niaga (SBMN) dan Projek Ternakan Madu Lebah Kelulut; serta aktiviti Program Promosi dan Pemasaran adalah penyertaan dalam ekspo dan karnival, dan Program Transformasi Kualiti Produk (Pembungkusan & Pelabelan),” katanya.

Advertisement

Menurutnya, program pembangunan KEJORA memberi fokus kepada pembangunan bandar dan petempatan (perumahan), penyediaan infrastruktur dan kemudahan, pembangunan pelancongan, pembangunan usahawan, pembangunan pertanian, pembangunan industri dan pembangunan modal insan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top