BM | EN | 中文

Kejora sedia gerakkan ekonomi pelancongan di Johor Tenggara tahun depan

che-zakaria.png
Advertisement

KOTA TINGGI, 7 DIS: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) komited untuk merancakkan semula ekonomi pelancongan di wilayah Johor Tenggara bermula tahun depan, kata Pengerusinya Datuk Che Zakaria Mohd Salleh.

Beliau berkata pihaknya telah merangka pelbagai agenda untuk menjayakan hasrat itu, dengan penekanan khusus diberi kepada industri inap desa.

Jelas beliau, penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu akan turut diterapkan.

Advertisement

“Kejora sedang merangka pelbagai agenda pemulihan ekonomi dengan pelancongan inap desa menjadi aspek utama.

“Bagaimanapun program yang dirancang itu perlu mengikut SOP ditetapkan termasuk mengecilkan jumlah penglibatan peserta,” katanya selepas menyampaikan Baucar Tunai COVID-19 Wilayah Kejora, di Bangunan Kejora, Bandar Penawar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama Rosleli Jahari dan Pengurus Besar Kejora A Jalil Md Arshad.

Advertisement

Sumbangan baucar Econsave bernilai RM200 itu disampaikan kepada 1,770 penerima merangkumi isi rumah miskin, golongan miskin tegar, golongan B40 dan anak yatim di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di wilayah Kejora iaitu Penawar, Tanjung Surat, Panti, Sedili, Johor Lama, Kahang dan Layang-Layang.

Program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kejora melibatkan peruntukan berjumlah RM354,000.

Mengulas pemberian itu, Che Zakaria berkata baucar berkenaan merupakan inisiatif pihaknya dalam membantu penduduk yang terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Advertisement

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban dihadapi oleh ketua isi rumah miskin, golongan miskin tegar serta golongan B40 di wilayah Kejora,” katanya.

Beliau berkata Kejora turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada setiap DUN dalam wilayah itu bagi melaksanakan sanitasi awam COVID-19.

“Ini termasuk sumbangan bakul prihatin Aidilfitri kepada 800 ketua isu rumah miskin dan miskin tegar termasuk anak yatim di wilayah Kejora melibatkan wang tunai RM500 serta bakul kuih,” katanya.

Advertisement

Che Zakaria berkata pihaknya turut menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada 114 buah sekolah dengan nilai RM126,670.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top