BM | EN | 中文

Kejora akan tarik balik tanah pajakan langgar syarat, tukar jenis tanaman

Che-Zakaria-Kejora-Lembaga-Kemajuan-Johor-Tenggara.jpg

Gambar Ehsan The Malaysian Reserve

Advertisement

PASIR GUDANG, 13 FEB: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) akan menarik balik tanah miliknya yang dipajakkan kepada pihak korporat, syarikat atau individu yang melanggar syarat-syarat pajakan.

Pengerusi Kejora, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, antara pelanggaran syarat ialah tidak mengikut tanaman yang dipersetujui dalam kontrak, tidak mengusahakan tanah dan memajaknya kepada pihak lain.

Beliau turut memberi contoh akan menarik balik tanah 161 hektar daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (Nafas) kerana melanggar syarat yang dipersetujui dalam kontrak kerana sepatutnya ditanam dengan koko tetapi ditukar kepada kelapa sawit.

Advertisement

“Surat sudah pun dihantar kepada Nafas untuk mendapatkan jawapan. Kita tidak kira siapa, jika langgar syarat tanah pajakan ditarik balik.

“Pada masa ini pihak pengurusan Kejora sedang menyiasat dan mendapatkan senarai pihak yang melanggar syarat termasuk jumlah kerugian ditanggung Kejora akibat kesalahan ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan barang keperluan asas kepada penduduk di pekarangan Surau Al Asyariah, Flat Balau, Taman Rinting di sini pada Sabtu.

Advertisement

Che Zakaria berkata, selepas ini setiap tanah milik konglomerat itu yang mahu dipajakkan wajib mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Kejora (BOD) dan perlu mengikut prosedur.

Beliau yang mengambil alih jawatan Pengerusi Kejora pada Mei 2020 menegaskan, kelulusan tidak boleh lagi diberikan seperti sebelum ini yang dilihat ada ketirisan malah seolah-olah diberikan sesuka hati.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kejora kini membuka tawaran kepada golongan muda memohon pajakan tanah untuk dibangunkan dengan projek pertanian sama ada kecil atau besar.

Advertisement

Katanya, Kejora sedang memperhalusi jumlah keluasan tanah yang dibenarkan untuk pajakan dalam tempoh dicadangkan 30 tahun, tiada had untuk jumlah pemohon namun perlu membangunkan tanah tersebut dan tidak melanggar syarat.

Pihak Kejora katanya, mencadangkan golongan muda yang berminat dengan projek pertanian untuk menanam buah-buahan tempatan kerana pasarannya luas serta mempunyai permintaan yang tinggi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top