BM | EN | 中文

Kejayaan JDT pertahan Liga Super disambut meriah

jdt-liga-super-2021-1.jpg

Gambar Ehsan FB Johor Southern Tigers

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT: Stadium Sultan Ibrahim di sini diterangi percikan bunga api dan persembahan cahaya laser berwarna-warni sempena meraikan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, malam tadi.

Detik memukau itu berlaku sejurus sahaja Ketua Pasukan JDT Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak bersama Ketua Jurulatih Pasukan JDT Benjamin Mora menjulang piala berprestij berkenaan sebelum disusuli sorakan rakan sepasukan.

Kemenangan JDT menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan 2-1 melayakkan skuad Harimau Selatan merangkul piala berkenaan sekali gus mengekalkan penguasaan Liga Super sejak 2014.

Advertisement

Momen bersejarah itu disaksikan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan.

Sementara itu, di luar stadium pula, sebanyak 1,600 kenderaan penyokong memenuhi tapak parkir terbuka di kawasan stadium sejak kira-kira 6.30 petang untuk In-Car Viewing Party atau menonton dari dalam kereta.

la bertujuan bagi memberi peluang kepada penyokong yang Iengkap vaksinasi COVID-19 menyaksikan aksi perlawanan JDT dan KL City secara langsung dari dalam kenderaan masing-masing menerusi sembilan skrin layar gergasi disediakan.

Advertisement

Program diadakan dengan konsep berkenaan setelah mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang masih menular dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan tidak diabaikan kerana terdapat langkah merekod kehadiran penyokong menggunakan aplikasi MySejahtera selain mengambil bacaan suhu badan mereka.

Lebih manis, pasukan JDT membawa piala berprestij itu ke kawasan In-Car Viewing Party dengan menaiki bas khas tanpa bumbung, tepat 11.30 malam.

Advertisement

Pada 27 Ogos lepas, jaringan hatrik penyerang import prolifik Bergson da Silva mengesahkan kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut buat JDT, selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus menamatkan saingan perebutan takhta lebih awal dengan berbaki dua aksi liga.

Untuk rekod, sebelum ini Terengganu FC (TFC) adalah satu-satunya pasukan yang berjaya mengalahkan JDT sepanjang 22 perlawanan Liga Super musim ini.

Juara Liga Super diberikan slot automatik ke saingan Liga Juara-juara AFC 2022, manakala naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia mendapat peluang beraksi di Piala AFC 2022.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top