BM | EN | 中文

Keganasan rumah tangga: Apa yang boleh dilakukan?

keganasan-domestik.jpg
Advertisement

Oleh: Luthfi Yusri & Ajda Nuha

Setelah sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, pihak kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKP sehingga 28 April 2020 bagi meneruskan usaha memutuskan rantaian penyebaran virus Covid-19.

Secara tidak langsung, arahan “duduk di rumah dan jangan keluar” yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri akan diteruskan lagi untuk dua minggu yang mencabar fizikal dan mental. Episod ini akan terus mewarnai hidup kita selepas ini.

Advertisement

Ada apa dengan rumah?

Rumah seharusnya menjadi tempat yang paling selamat untuk seseorang mendapatkan perlindungan daripada segala ancaman. Rumah juga seharusnya menjadi suatu tempat yang signifikan dalam pembentukan rohani dan jasmani ahlinya lagi-lagi sempena Perintah Kawalan Pergerakan ini berlangsung.

Boleh dikatakan, ianya sebuah anugerah apabila semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama tatkala pada hari kebiasaannya masing-masing sibuk dengan hal kerja semata-mata.

Advertisement

Namun begitu, terbit sebuah kegusaran yang ingin dibangkitkan. Buat mereka yang didera, rumah bukan tempat berlindung tetapi umpama sebuah neraka dunia. Mereka sentiasa hidup dalam ketakutan dan kesakitan.

Pegawai Advokasi dan Komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Tan Heang Lee, berkata data yang diterima dari 1 hingga 17 Mac 2020 menunjukkan secara purata harian, pihaknya menerima kira-kira 10.5 panggilan dan WhatsApp setiap hari.

Hal ini jelas membimbangkan. Perintah berkurung ini menyukarkan lagi buat mangsa untuk mendapatkan bantuan kerana mereka tidak dibenarkan keluar. Paling minima, hanyalah aduan melalui panggilan telefon.

Advertisement

Lindungi mangsa dera

Justeru itu, amat penting untuk pihak Kementerian Wanita dan Keluarga yang dipelopori oleh YB Rina Harun menyediakan bantuan sewajarnya bagi melindungi mangsa-mangsa dera dan tidak hanya bergantung kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menangani isu penderaan.

Penderaan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, sama ada secara fizikal, seksual, psikologi, ekonomi dan pengabaian perkara asas. Mangsa kes penderaan ini tidak hanya melibatkan wanita meskipun ini antara golongan yang paling banyak menjadi mangsa, malahan kanak-kanak dan juga kaum lelaki boleh menjadi mangsa penderaan.

Advertisement

Masalah ini harus difikir secara klinikal untuk memastikan mekanisme jangka masa pendek dan panjang sepanjang PKP ini kepada kumpulan sasar yang memerlukan bantuan. Kerajaan, badan bukan kerajaan dan jiran tetangga harus lebih cakna mengenai perihal ini.

Cuba kita lihat beberapa inisiatif negara lain. Kerajaan Perancis misalnya, telah menubuhkan pusat bantuan di kedai runcit dengan kod rahsia untuk membantu mangsa mendapatkan pertolongan.

Kerajaan Perancis turut menawarkan pembayaran penginapan bilik hotel untuk mangsa serta membuka pusat kaunseling ‘pop-up’ selepas kes keganasan rumah tangga meningkat mendadak pada minggu pertama “Lockdown”.

Advertisement

Selain itu, di Taiwan, The Asian Network of Womens Shelters menawarkan seminar secara dalam talian (webinar) bagi membuat persediaan untuk melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga.

Kenapa kes penderaan meningkat sepanjang PKP?

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan keganasan rumahtangga berlaku. Antaranya faktor ekonomi, tekanan dan pekerjaan.

Advertisement

Melihat kepada punca tersebut, dapat difahami mengapa boleh berlaku peningkatan kes keganasan rumah tangga sewaktu PKP. Antaranya pendera sentiasa berada bersama mangsa serta menghabiskan masa yang banyak bersama menyebabkan peluang untuk konflik berlaku adalah lebih tinggi, pengasingan sosial menyebabkan tiada saluran lain untuk menghilangkan stress.

Masalah kewangan serta ketidaktentuan masa depan menimbulkan konflik yang ketara dan persekitaran rumah yang tidak kondusif menyebabkan berlakunya rasa lemas apabila berada di rumah.

Kehilangan pekerjaan di musim pandemik ini juga boleh menjadi punca berlakunya keganasan rumahtangga. Tidak dinafikan bahawa wabak Covid-19 telah melumpuhkan pendapatan ekonomi orang ramai terutama buat mereka yang bekerja sendiri dan pendapatan bergantung pada gaji harian. Keadaan kian membimbangkan sekiranya PKP terus dilanjutkan.

Advertisement

Rentetan daripada kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku sekarang, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangka hampir 100,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan kesan daripada wabak virus Covid-19 yang semakin menular. Perkara sebegini merisaukan mereka yang bergantung pada pekerjaan untuk menanggung perbelanjaan diri dan keluarga.

Keganasan rumah tangga akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mangsa, sama ada secara fizikal atau mental. Kesan fizikal lebih mudah dikesan berbanding kesan mental. Hal ini kerana ia boleh dilihat dengan mata kasar seperti kesan lebam pada anggota badan, luka atau patah tulang yang boleh menyebabkan kecacatan kekal atau kematian.

Manakala bagi kesan mental pula, ianya boleh menyebabkan mangsa mengalami kemurungan yang dahsyat dan mereka juga cenderung untuk membunuh atau mencederakan diri sendiri.

Advertisement

Buat mangsa penderaan

Oleh itu, diharapkan agar mangsa-mangsa penderaan tidak terus berada dalam keadaan ‘denial’ (penafian) jika berlaku penderaan terhadap diri mereka. Segera dapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan NGO. Selain itu, mangsa juga diminta untuk tidak menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku kerana keganasan rumahtangga adalah salah pelaku, bukan mangsa.

Antara langkah yang boleh dilakukan oleh mangsa adalah dengan membuat laporan polis di Balai Polis berdekatan atau di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah. Selain itu,mangsa juga boleh menghubungi Talian Kasih di nombor 15999.

Advertisement

Mangsa juga boleh mendapatkan bantuan daripada NGO seperti Women’s Aid Organization (WAO) dan Women’s Centre for Change (WCC). Kedua-dua organisasi ini berperanan untuk menyelamat dan membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, mangsa penderaan kanak-kanak dan kes-kes rogol atau gangguan seksual. Mereka boleh dihubungi melalui talian 03-7956 3488 atau Whatsapp 018-988 8058 bagi WAO dan talian 04-228 0342 untuk hubungi WCC.

Justeru itu, bertindak segera agar ia tidak berlarutan dan memberi kesan yang lebih parah. Ini kerana, nyawa mangsa juga nyawa yang berharga dan berhak untuk hidup dalam keadaan yang baik dan selamat.

Kebiasaan hari- hari yang dilalui, kian janggal buat kita semua. Terus bersabar dan kuatkan semangat buat rakyat Malaysia!

Advertisement

Luthfi Yusri & Ajda Nuha merupakan aktivis Persatuan Belia HARMONI Malaysia

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top