BM | EN | 中文

Kedudukan PM lebih kuat untuk tolak tuntutan kleptokrat selepas MOU dengan PH

Tony-Pua-DAP.jpg

Gambar Ehsan Roketkini

Advertisement

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berada pada kedudukan lebih kuat untuk menolak sebarang ancaman dan tuntutan daripada kluster mahkamah dan kleptokrat dalam UMNO.

Ahli parlimen Damansara Tony Pua berkata, jika MOU berkenaan tidak ditandatangani, ‘tangan’ Ismail Sabri akan menjadi lemah dan beliau harus menyerah kepada tuntutan-tuntutan kleptokrat.

“Dengan MOU yang dimeterai, kita berharap Ismail Sabri tidak perlu lagi mengendahkan tuntutan yang dilaporkan, untuk melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘penasihat ekonomi’ kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Advertisement

Kerajaan Persekutuan dan PH semalam melakar sejarah negara dengan pemeteraian MOU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara wakil kerajaan dan PH di bangunan Parlimen.

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah, menerusi MOU tersebut, Ismail Sabri tidak perlu melayan sebarang tuntutan dari kem Datuk Seri Azmin Ali agar ahli parlimen Gombak itu dilantik timbalan perdana menteri kerana sebarang ancaman dari kem Azmin untuk menjejaskan kestabilan gabungan parti kerajaan tidak lagi kredibel.

“MOU tersebut tidak bermaksud PH atau saya sendiri menyokong pentadbiran pimpinan UMNO oleh Ismail Sabri. Tidak sama sekali.

Advertisement

“MOU itu hanya bermaksud bahawa rakyat sekarang akan memperoleh ketenangan dan kestabilan untuk menangani Covid-19 dan ekonomi, dan bukannya terus-menerus sibuk dengan percubaan berulang kali untuk merebut kekuasaan oleh mana-mana pihak yang mengaku memiliki majoriti yang kuat, hebat dan meyakinkan,” katanya.

Terdahulu, Tony dilaporkan Roketkini sebagai berkata, rakyat merupakan pemenang terbesar susulan pemeteraian MOU tersebut.

Tambahnya, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu berjaya diyakinkan untuk melaksanakan reformasi yang tertakluk kepada jadual pelaksanaan, untuk diselesaikan pada persidangan pertama tahun depan.

Advertisement

Tambahnya lagi, PH akan mendapatkan seberapa banyak mungkin faedah daripada MOU itu untuk rakyat dan reformasi bagi menambah baik institusi demokratik Malaysia, pada masa sama kekal sebagai pembangkang.

“Namun apabila Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa selepas bulan Julai 2022, PH akan berusaha keras untuk mendapatkan mandat rakyat,” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top