ISKANDAR PUTERI, 26 NOV : Kerajaan negeri terus berbelanja ke arah memperkukuh dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat bagi tahun ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan merupakan prinsip tadbir urus utama untuk memastikan amalan baik dalam pengurusan perbelanjaan awam semasa.
“Pendekatan ini telah diterjemahkan di dalam penyediaan belanjawan berasaskan zero-based budgeting iaitu merupakan belanjawan pertama di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menyemak semula peruntukan beberapa jabatan dan agensi yang tidak menggunakan sumber dengan baik dan tiada pelan perancangan kawalan dalaman,” katanya di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Sahruddin (PH-Bukit Kepong) menjawab soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) yang bertanya selama tempoh pemerintahan kerajaan PH, berapakah jumlah perbelanjaan tetap negeri jika dibandingkan dengan kos pemerintahan kerajaan sebelum ini.
Tambahnya, kerajaan negeri melalui Perbendaharaan negeri Johor menetapkan semua Pegawai Pengawal hendaklah mematuhi langkah-langkah perbelanjaan berhemat dan mematuhi peraturan dan langkah-langkah dalam menganjurkan acara majlis, keraian, mesyuarat, persidangan seminar serta bengkel.
Di mana setiap penganjuran berkenaan hendaklah dikecilkan skopnya atau yang benar-benar perlu sahaja dan diadakan di jabatan atau premis milik kerajaan.
Bagi gimik pelancaran dibuat secara ringkas dan disediakan secara dalaman tanpa penyumberluaran seperti melantik pengurus acara.
Pemberian cenderamata tidak dibenarkan, tetapi sekiranya perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraftangan tempatan, produk makanan tempatan atau produk agensi sendiri.
Bagi pemberian pakaian percuma kepada peserta, pengunjung bagi setiap acara, majlis, keraian rasmi tidak dibenarkan dan hiasan tempat serta pentas adalah ringkas.
“Pendekatan tersebut telah memberi kesan positif dari segi kawalan perbelanjaan. Untuk makluman Perbelanjaan Kewangan berakhir 31 Disember 2018 ialah RM1,537.77 juta berbanding dengan hasil yang berjumlah RM1,543.03 juta menjadikan lebihan tahun 2018 berjumlah RM2.15 juta. Penyata kewangan negeri bagi tahun 2018 telah pun diaudit dan dianugerahkan sijil bersih.
“Perbelanjaan Mengurus negeri di bawah Kerajaan Pakatan Harapan berakhir 31 Disember 2018 adalah sebanyak RM 1,537.77 juta berbanding Kerajaan sebelum ini bagi Perbelanjaan Mengurus pada 2017 adalah berjumlah RM 1,551.61 juta. Oleh itu, terdapat penjimatan perbelanjaan keseluruhan iaitu sebanyak RM 13.84 juta.
“Seterusnya, bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, pada 2017 adalah RM710.51 juta dan pada 2018, sebanyak RM 614.87 juta. Oleh itu, terdapat penjimatan perbelanjaan pembangunan iaitu sebanyak RM95.64 juta berbanding tahun 2017,” katanya lagi.
JohorKini