JOHOR BAHRU, 17 DIS: Sebuah rumah Kuarters Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbakar 80 peratus di Kampung Penggawa Timur, Jalan Pandan, pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 pagi tadi.
Katanya, dua jentera dari BBP Johor Jaya dan BBP Tebrau serta satu jentera EMRS dengan kekuatan seramai 15 orang anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Tindakan Kecemasan di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah jenis separuh kekal yang telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni.
“Rumah tersebut berkeluasan 30 kaki x 15 kaki x 12 kaki dan kebakaran telah memusnahkan 80 peratus daripada bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan penggunaan satu aliran salur bantu mula dari jentera BBP Tebrau dan kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 7.48 pagi tadi.
Tambahnya tiada mangsa yang terlibat di dalam kebakaran tersebut dan operasi ditamatkan pada jam 7.58 pagi tadi.
JohorKini