BM | EN | 中文

Kebajikan warga Malaysia terkandas di Singapura jadi keutamaan – Pesuruhjaya Tinggi

Datuk-Dr-Azfar-Mohamad-Mustafar.jpg

Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar (Gambar Ehsan The Malay Mail)

Advertisement

SINGAPURA, 1 SEPT: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau kesejahteraan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu, berikutan sekatan sempadan yang dilaksanakan akibat pandemik COVID-19 sejak 2020.

Ketua misi Malaysia yang baharu dilantik, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata, misi itu bersedia memberikan bantuan konsular untuk memastikan mereka yang terjejas dapat kembali berulang-alik setiap hari seperti sebelum pandemik.

Azfar berkata kebanyakan rakyat Malaysia yang sebelum ini berulang-alik setiap hari dari Johor, terkandas di republik itu kerana mereka perlu memilih demi untuk menyara keluarga sepanjang tempoh sukar ini.

Advertisement

“Amat sukar bagi mereka. Sebagai sumber pendapatan keluarga, kebanyakan mereka memutuskan untuk tinggal di sini dan meninggalkan keluarga mereka di Malaysia. Ini adalah pilihan yang harus mereka buat, ” katanya, lapor Bernama.

Beliau mengakui beberapa cawangan syarikat Malaysia di sini seperti Maybank, CIMB dan Persatuan Malaysia di Singapura (MASTS) telah banyak membantu warga Malaysia yang terkandas.

Azfar turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan mental rakyat Malaysia yang terjejas itu, terutama apabila perkara itu menjadi fenomena global disebabkan sekatan pergerakan.

Advertisement

“Elak daripada simpan dan pendam masalah cuba sentiasa bergaul dan jangan mengasingkan diri.

“Kita perlu sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia kerana sebilangan daripada mereka tidak dapat pulang ke rumah mereka di Johor ada yang sudah lebih setahun dan ada yang sudah dua tahun.

“Mereka hanya berkomunikasi dengan keluarga mereka melalui panggilan video WhatsApp. Perpisahan ini menjejaskan setiap orang dengan cara berbeza,” katanya.

Advertisement

Ditanya apakah rutin berulang-alik akan kembali tahun ini ketika Singapura bergerak menuju tahap endemik untuk COVID-19, Azfar berkata ‘buat masa ini ia belum sesuai untuk dibincangkan.

Beliau mengandaikan apabila Singapura dan khususnya Johor mencapai imuniti kelompok, barulah perkara itu boleh diteliti.

Azfar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke-17 ke Singapura, menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Halimah Yacob pada Selasa, 31 Ogos lalu.

Advertisement

Pada 15 Jun lalu Yang di-Pertuan Agong AI-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AI-Mustafa Billah Shah telah menyampaikan watikah pelantikan kepada Azfar dan 18 duta baharu yang ditugaskan dengan misi luar negara.

Azfar pernah berkhidmat sebagai duta ke Perancis sebelum dilantik mengisi kekosongan jawatan itu sejak pertengahan 2020.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top