BM | EN | 中文

KDNK Singapura menguncup 5.8 peratus pada 2020 – Anggaran awal MTI

singapura.jpg

Gambar (Gambar Ehsan absnews.com)

Advertisement

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 4 JAN: Ekonomi Singapura menguncup 5.8 peratus untuk sepanjang 2020, demikian menurut anggaran awal yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu hari ini.

Pada 23 Nov, MTI mengumumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dijangka pada “-6.5 hingga -6.0 peratus” pada 2020 dan “+4.0 hingga +6.0 peratus” pada 2021.

Advertisement

Dalam kenyataan hari ini, MTI berkata ekonomi republik itu menguncup sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun bagi suku keempat 2020, naik berbanding penguncupan 5.6 peratus pada suku ketiga.

Katanya, berdasarkan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi tumbuh 2.1 peratus, diikuti pengembangan 9.5 peratus pada suku ketiga.

MTI berkata pertumbuhan KDNK yang kukuh itu dapat dilihat pada suku ketiga selepas aktiviti dimulakan kembali secara berperingkat berikutan pelaksanaan had pemutus atau “Circuit Breaker” selama lapan minggu sejak 7 April tahun lepas.

Advertisement

Peningkatan semula aktiviti di negara-negara utama dalam suku itu selepas mereka menamatkan sekatan perjalanan turut menjadi satu lagi faktor penyumbang.

Anggaran awal itu sebahagian besarnya dihitung daripada data dua bulan pertama pada suku itu iaitu Oktober dan November.

Mengenai prestasi sektor, MTI berkata sektor pembuatan berkembang 9.5 peratus berasaskan tahun ke tahun pada suku keempat, meneruskan pertumbuhan 10.8 peratus pada suku sebelumnya.

Advertisement

“Pertumbuhan sektor ini didorong terutamanya oleh pengembangan output kluster elektronik, pembuatan bioperubatan dan kejuruteraan ketepatan yang melebihi penurunan output kluster kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan umum,” katanya.

Bagaimanapun sektor pembuatan menguncup 28.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat, meningkat daripada penguncupan 46.2 peratus pada suku sebelum itu.

“Peningkatan prestasi sektor itu disokong oleh pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dalam suku keempat berbanding suku sebelumnya,” kata kementerian itu.

Advertisement

Dalam kalangan sektor perkhidmatan, MTI berkata sektor perdagangan borong dan runcit dan pengangkutan dan penyimpanan berkurangan 11.0 peratus pada suku keempat, sederhana berbanding penurunan 11.9 peratus pada suku sebelum itu.

Prestasi kumpulan sektor ini dijejaskan oleh segmen berkaitan perdagangan seperti perdagangan borong dan pengangkutan air yang merosot akibat permintaan luaran yang lembap kerana negara-negara utama di seluruh dunia terus menghadapi pandemik COVID-19.

Segmen lain berkaitan perdagangan seperti pengangkutan udara turut merosot akibat sekatan perjalanan global yang berterusan dan permintaan perjalanan yang berkurangan, katanya.

Advertisement

Sementara itu, sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans dan perkhidmatan profesional naik 0.2 peratus daripada penguncupan 0.2 peratus pada suku ketiga.

Sektor perkhidmatan lain seperti perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan dan industri perkhidmatan lain — turun 9.9 peratus, naik berbanding penurunan 13.5 peratus pada suku ketiga.

Dalam kumpulan itu, segmen penginapan terus menguncup akibat permintaan yang lemah dalam aktiviti pelancongan.

Advertisement

Prestasi segmen perkhidmatan makanan dan industri perkhidmatan lain — seni, hiburan dan rekreasi dan segmen-segmen “lain” turut terjejas akibat kekangan yang wujud susulan langkah pengurusan keselamatan, katanya.

MTI akan mengeluarkan anggaran awal KDNK bagi suku keempat dan seluruh 2020 termasuk prestasi mengikut sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti menerusi Tinjauan Ekonomi Singapura pada Februari 2021.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top