PONTIAN, 18 OKT : Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan siasatan secara terperinci berhubung pengedaran buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkenaan komik tersebut dan memaklumkan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menarik semula edaran tersebut.
“Kita akan siasat secara terperinci macam mana ia berlaku. Biasanya di KPM tidak ada bahan-bahan apa sekalipun yang boleh diedar kepada pihak sekolah kecuali dengan kebenaran pihak kementerian. Ini tentunya tidak ada kebenaran.
“Kalau bahan itu cerita Upin Upin tak apalah. Tapi jika bahan itu melangkau batas politik, soal negara asing, ada juga kaitkan tentang kefahaman politik dan macam-macam lagi. Ikut laporan awal saya terima dari pihak bahagian keselamatan KDN ada perkara tidak betul.
“Sebab itu wajar tindakan tegas diambil kepada mereka yang edarkan perkara itu dan memanggil mereka yang menulis dan dapatkan keterangan lanjut,”katanya pada sidang media sempena lawatan kerja di Ibu Pejabat Daerah Pontian, hari ini.
Terdahulu, KPM menegaskan tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik propaganda “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah.
KPM dalam satu kenyataan semalam menjelaskan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.
Muhyiddin berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terburu-buru susulan isu tersebut.
Katanya, beliau mengharapkan bahagian keselamatan untuk memanggil mereka yang berkenaan untuk mendapatkan penerangan serta penjelasan.
JohorKini