BM | EN | 中文

KDN : ISU PENYELUDUPAN RENTAS SEMPADAN BUKAN PERKARA BAHARU

IMG-20191018-WA0010.jpg
Advertisement

PONTIAN, 18 OKT : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, susulan pendedahan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis, hari ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu penyeludupan di sempadan memang sudah disedari pihak kementerian dan ia bukan baharu bahkan sudah agak lama berlaku.

Menurutnya, sudah banyak tindakan diambil dengan bukti jelas siapa yang melakukan penyeludupan ataupun sindiket yang terlibat sama dalam jenayah tersebut.

Advertisement

“Terima kasih kepada Latheefa Koya. Sekarang ini kalau ada maklumat baru disediakan oleh pihak SPRM gambar-gambar video yang jelas boleh dicam oleh pihak polis maka kita boleh ambil tindakan.

“Ini adalah satu cabaran besar yang pihak kita hadapi terutama pintu-pintu sempadan kita tidak begitu terkawal kerana sempadan Malaysia agak luas dan panjang.

“Walaupun ada pintu masuk utama tetapi mereka boleh melakukan penyeludupan di luar kawasan pintu-pintu yang kita kawal baik diperairan dan darat,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja di Ibu Pejabat Daerah Pontian, hari ini.

Advertisement

Terdahulu media melaporkan hari ini SPRM mendedahkan klip video antara tahun 2017 hingga Mei 2019 menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan walaupun berlaku di depan mata.

Visual terbabit turut merakam kegiatan sekumpulan individu secara terbuka membawa keluar barangan bersubsidi dipercayai minyak masak dan tepung gandum, melalui pagar sempadan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Turut ditunjukkan kepada wakil media ialah klip memaparkan penyeludup menghampiri anggota keselamatan sebelum membawa barangan dipercayai untuk diseludup.

Advertisement

Video terbabit adalah hasil kompilasi daripada ribuan klip video dirakam sumber tidak dinamakan oleh SPRM berkaitan kegiatan penyeludupan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Muhyiddin berkata, beliau amat mengalu-alukan sebarang maklumat yang hendak disampaikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana siasatan akan dilakukan untuk mendapatkan bukti yang jelas agar tindakan dari segi undang-undang dapat dilaksanakan.

Tambahnya, pihak polis tidak akan berkompomi sekiranya ada anggota yang terbabit dalam jenayah tersebut.

Advertisement

“Kalau bersubahat dan ada bukti kita akan ambil tindakan. Perkara ini tidak perlu task force kerana ia memang sebahagian tugas kalau dapat kerjsama dari SPRM dan orang lagi bagus. Tapi apa pun kita akan teliti fakta dan data untuk ambil tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top