BM | EN | 中文

KBS pantau perkembangan konflik PSM-Astaf

persatuan-sepak-takraw-malaysia-PSM.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memantau perkembangan kemelut melibatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sebelum membuat sebarang kenyataan.

Menterinya Reezal Merican Naina Merican berkata KBS menghormati keputusan Astaf yang menggantung sementara PSM daripada terlibat dalam sebarang aktiviti dan mahu proses perundangan yang berlangsung diselesaikan terlebih dahulu.

“Apa yang saya boleh katakan ialah PSM masih sebuah persatuan sukan yang sah dan apa yang terjadi kepada presiden mereka ketika ini tidak akan merencatkan aktiviti persatuan.

Advertisement

“Mengenai tindakan yang akan diambil oleh Astaf terhadap mereka pula, biarlah proses yang berkaitan selesai dulu. Ini adalah situasi yang biasa berlaku kepada badan-badan sukan di peringkat kebangsaan dan dunia,” katanya.

Reezal Merican berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Kasih Ramadhan Ceria Aidilfitri di Kepala Batas, semalam.

Pada 28 April lepas, Astaf menggantung sementara PSM daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sepak takraw berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Advertisement

Dalam surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung PSM Abidullah Salleh, PSM turut didakwa melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif Astaf serta organisasi Astaf secara keseluruhan berdasarkan kenyataan Presiden PSM Ahmad Ismail mengenai pemilihan badan tersebut.

PSM diberi tempoh 14 hari untuk menjawab dakwaan berkenaan selain berdepan kemungkinan disingkirkan daripada Astaf sekiranya didapati bersalah.

Terdahulu, Reezal Merican menyampaikan sumbangan kepada 1,000 penduduk golongan B40 di kawasan parlimen Kepala Batas berupa barangan keperluan dan wang tunai RM200 masing-masing bagi membantu meringankan beban mereka.

Advertisement

Ahli parlimen Kepala Batas itu berkata bantuan berkenaan adalah hasil sumbangan beberapa pihak termasuk Yayasan Salam Malaysia dan Philip Morris Malaysia.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top