BM | EN | 中文

Kayuhan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia DUN Parit Yaani meriah

kayuh.jpg

BATU PAHAT, 8 SEPT: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi kawasan DUN Parit Yaani disemarakkan lagi dengan konvoi berbasikal dan kibaran Jalur Gemilang.

Adun Parit Yaani Aminolhuda Hassan berkata sambutan itu yang dianjurkan bersama aktiviti riadah bukadar sekadar menyihatkan tubuh badan, malah mengeratkan jalinan silaturrahim di antara penduduk tempatan.

“Selain menyemarakkan lagi semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, aktiviti riadah sebegini adalah suatu yang baik untuk semua.

“Tahun ini sambutan di sini lain sedikit kerana kita mengikut SOP yang ditetapkan seperti bilangan peserta yang terhad dan kita akur dengan perkara tersebut.

“Namun apa yang pasti kemeriahan sambutan ini dapat dirasai oleh semua pihak yang terbabit dalam kayuhan pada hari ini (semalam),” ujarnya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, turut mengingatkan agar generasi kini mengetahui serta mengambil tahu akan pengorbanan pejuang dalam menuntut kemerdekaan negara.

Tambah beliau, rasa cinta dan semangat sayangkan negara boleh dihayati generasi masa kini, lebih-lebih lagi dianjurkan seiring aktiviti sukan berbasikal yang kian popular.

“Tertegaknya negara yang bernama Malaysia ini adalah hasil usaha golongan terdahulu. Jangan kita cemarkan perkara tersebut dengan penjualan maruah diri sehingga rosak sebuah keharmonian dalam negara ini.

“Program kita ini juga turut membawa simbol kibaran Jalur Gemilang bagi serta membuat kunjungan hormat kepada ‘frontliners’ yang mana untuk tahun ini mereka menjadi wira negara dalam membantu membendung wabak Covid 19 yang melanda negara.

“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada mereka yang terbabit dalam menjayakan program ini,” ujarnya lagi.

Turut hadir ke program tersebut adalah Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, pasukan Tim Aerodance Batu Pahat, Ketua Kampung sekitar Dun Parit Yaani, Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat Parit Yaani dan pasukan keselamatan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top