KULAI, 9 OKT: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) bersedia menerima kunjungan orang awam dan pendaki di kesemua kawasan eko-pelancongan di bawah kendalian JPNJ setelah Johor yang beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam.
Pengarah JPN Johor, Datuk Salim Aman berkata, ia melibatkan lapan Taman Eko Rimba (TER), dua Hutan Taman Negeri (HTN) dan 15 kawasan pelancongan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) negeri Johor.
Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dari segi penyeliaan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pengunjung mengadakan aktiviti rekreasi dan riadah di kesemua kawasan terlibat.
“Kemasukan setiap pengunjung akan direkodkan di pintu masuk bagi mengelakkan ia melebihi had pengunjung yang dibenarkan iaitu 50 peratus daripada kapasiti sebenar.
“Kami tidak mahu berlakunya kesesakan luar biasa di kawasan jagaan JPNJ. Tempoh had masa yang dibenarkan bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya, lapor Utusan Online.
Terdahulu Salim membuat lawatan Fasa tiga PPN di TER Gunung Pulai 1, di sini semalam.
Johokini