JOHOR BAHRU, 18 MEI: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) membuka semula Kaunter Pengambilan Tong Sampah Beroda (TSB) kepada orang ramai di negeri Johor.
Dalam kenyataannya SWM Environment berkata, kaunter tersebut dibuka dengan menerapkan sepenuhnya prosedur norma baharu selari dengan garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, persediaan rapi telah dilaksanakan dengan peningkatan pengawasan urusan pelanggan merangkumi pemeriksaan suhu badan di pintu masuk, penjarakan sosial sekurangnya satu meter dan penyediaan pensanitasi tangan di kaunter.
Tambah beliau operasi pengambilan tong sampah beroda kini di Depoh SWM Johor Bahru beralamat di Blok B, Bangunan Tan Hoe Joo, Jalan Kangkar Tebrau.
[BACA: Rakyat Johor disaran asingkan sisa di punca dan amal kitar semula]
“Orang ramai disarankan memakai pelitup muka sebagaimana diwajibkan ke atas kakitangan yang bertugas semasa berurusan di kaunter berkenaan yang akan beroperasi pada setiap hari Ahad hingga Khamis bermula dari jam 9:00 pagi sehingga jam 4:30 petang.
“Pihak SWM Environment akan sentiasa mengemaskini SOP operasi perkhidmatan di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP selaras dengan pengumuman oleh pihak Kerajaan,” katanya.
Jelas beliau, pihak SWM Environment sentiasa komited untuk memenuhi keperluan orang ramai dan pada masa yang sama memberi perhatian serius terhadap perlindungan kesihatan mereka serta kakitangan yang bertugas.
Oleh yang demikian, SWM Environment akan sentiasa memantau pematuhan prosedur norma baharu serta memastikan kelancaran urusan pengambilan TSB tersebut.
Tambah Mohd Zan, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, Kaunter Pengambilan Tong Sampah Beroda SWM Environment akan ditutup bermula pada 22 Mei 2020 sehingga 25 Mei 2020 dan akan kembali beroperasi seperti biasa pada 26 Mei 2020.
Pihak SWM Environment menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan sebarang pertanyaan tentang urusan pengambilan dan penggantian tong sampah beroda melalui Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau menerusi Talian WhatsApp SWM di 012 618 0082.
Johorkini