BM | EN | 中文

Kaunter JPJ sesak, orang ramai disaran guna laman MyEG – Exco Johor

jpj-taman-daya-jb.jpg

Orang ramai beratur menunggu giliran di JPJ Taman Daya, Johor Bahru awal bulan ini

Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 MEI: Memandangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beroperasi secara terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai di negeri Johor digalakkan untuk menggunakan laman web MyEG bagi urusan berkaitan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Solihan Badri berkata, ini kerana tidak semua kaunter JPJ dibuka serta kakitangan juga dikurangkan secara penggiliran bertugas pada setiap hari.

“Orang ramai terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan perkhidmatan sehingga ke jalan raya kerana mematuhi penjarakan sosial di semua kaunter.

“Saya berharap orang ramai yang memerlukan khidmat JPJ dapat bertenang dan merancang jadual agar tidak terperangkap dengan kesesakan di kaunter.

“Dalam keadaan ini pendekatan yang boleh kita ambil adalah dengan menggunakan perkhidmatan sistem online (MyEG) lebih digalakkan berbanding beratur di kaunter JPJ yang sesak itu," kata Solihan dalam satu kenyataan semalam.

Sertai telegram Johorkini untuk mengetahui berita dan isu-isu semasa di Johor

Katanya lagi, norma baru yang diperkenalkan memang sedang diamalkan bagi memerangi penularan wabak Covid-19, namun apabila orang ramai tertumpu di suatu kawasan tentunya ia mengundang ketidakselesaan selain isu keselamatan kesihatan.

Justeru itu, Solihan mengingatkan orang ramai memanfaat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan antaranya termasuk menggunakan laman web MyEG bagi urusan berkaitan.

“Kerajaan sekali lagi ingin memaklumkan bahawa orang ramai tidak perlu membaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan,

“Memadai dengan membaharui insurans kenderaan sahaja sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan dan kelonggaran ini terpakai sehingga dimaklumkan kelak.

“Semoga kemudahan yang telah kerajaan berikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat semua," ujarnya lanjut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top