BM | EN | 中文

Kastam Johor rampas minuman keras RM1.39 juta

Kastam-Johor-rampas-minuman-keras-RM1.39-juta.jpg

Gambar Ehsan JKDM Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 MEI: Rumah terbiar dan gudang pembekal makanan dijadikan lokasi menyimpan minuman keras tanpa cukai oleh sindiket penyeludupan dalam usaha mengelirukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Taktik itu dapat dihidu JKDM Johor sekali gus menyaksikan rampasan pelbagai minuman keras bernilai RM1.39 juta dalam tiga kes berasingan di negeri ini dan Selangor pada April lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, rampasan pertama susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena Pelabuhan Pasir Gudang kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 26 April lalu.

Advertisement

Katanya, sebanyak 24,200 botol minuman keras bernilai RM401,845 dirampas dan pemeriksaan lanjut mendapati sindiket membawa masuk minuman keras tanpa permit yang sah dengan membuat pengikraran dagangan yang mengelirukan.

Menurutnya, kejayaan kedua adalah susulan serbuan pada 30 April lalu di sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, di sini yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan kira-kira jam 1 petang itu menemukan sebanyak 7,404 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM 815,841. Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan.

Advertisement

“Sindiket menjadikan rumah yang kelihatan terbiar dan tidak berpenghuni sebagai tempat penyimpanan barang-barang larangan yang tidak berkastam sebagai taktik mengaburi pihak berkuasa,” katanya, lapor Harian Metro.

Sazali dilaporkan berkata, pada serbuan ketiga pada 30 April lalu di sebuah gudang pembekal barang makanan di Seksyen U5, Shah Alam, Selangor yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras dipercayai tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah treler dan sebuah kontena di perkarangan premis tersebut yang telah dijadikan tempat menyembunyikan minuman keras yang dipercayai tidak berkastam.

Advertisement

“Jumlah minuman keras yang dirampas sebanyak 28,320 botol dianggarkan berjumlah RM 174,762. Usaha mengesan pemilik premis dan kenderaan sedang giat dilakukan.

“Sindiket ini dipercayai menyimpan dan menyembunyikan barang-barang larangan yang tidak berkastam di gudang pembekal makanan,” katanya.

Menurut Sazali, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top