BM | EN | 中文

Kastam Johor rampas lima kereta terpakai belum lulus cukai di Pasir Gudang

Jabatan-Kastam-DiRaja-Malaysia-KASTAM.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 NOV: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas lima kereta terpakai belum lulus cukai pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM192,390 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah premis depoh kontena di Jalan Emas 3, Pasir Gudang, bulan lepas.

Pengarah JKDM Johor Sazali Mohamad berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas kontena bersaiz 40 kaki (12.2 meter) di premis berkenaan, pada kira-kira 6.30 petang, 21 Oktober lepas, lalu menemukan kesemua kenderaan terpakai tersebut.

Beliau berkata kesemua kereta itu membabitkan Toyota Vitz, Toyota FunCargo, Toyota Allion, Nissan March dan Nissan Xtrail, yang kesemuanya dipercayai dari Singapura.

Advertisement

“Kesemua kereta tersebut diletakkan di dalam kontena yang diikrarkan di Pelabuhan Pasir Gudang sebagai kontena kosong. Nilai semua kereta yang dirampas adalah RM79,500 manakala nilai cukainya adalah sebanyak RM112,890,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.

Sazali berkata pihaknya dalam masa sama turut menahan seorang lelaki berumur 31 tahun yang dipercayai pekerja syarikat pengimport kontena bagi membantu siasatan, dan dia kemudian telah dilepaskan dengan jaminan RM50,000.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Advertisement

Sementara itu, dalam kes lain, beliau berkata pihaknya turut berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah ke negara jiran, 24 Okt lalu, selepas pasukan penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, berjaya mengejar sebuah bot gentian dengan enjin 40 kuasa kuda, di perairan Pontian, pada kira-kira 10 pagi.

“Apabila tiba di Sungai Benut, Pontian, dua lelaki yang berada di dalam bot tersebut bertindak terjun dan melarikan diri ke hutan bakau.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan empat bungkusan plastik yang ditulis ‘guanyinwang’ yang dibungkus dalam plastik berwarna hitam yang diletakkan di dalam beg bewarna biru dan tong cat berwarna putih yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Advertisement

Menurutnya, jumlah kesemua rampasan adalah sebanyak 3.36 kilogram yang dianggar bernilai RM217,860 dan pihaknya percaya dadah berkenaan untuk dihantar ke negara jiran.

Tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top